Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Malaysia mampu melengkapkan Pelan Tindakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) 2026 hingga 2030, seawal enam bulan berbanding sasaran 12 bulan akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ini adalah satu daripada hasil utama berkaitan AI, selain penubuhan Pejabat AI Kebangsaan.
“Selari untuk meletakkan Malaysia sebagai pemain yang berdaya saing dalam landskap AI global, kerajaan sedang menubuhkan Pejabat AI Kebangsaan atas sokongan dan cadangan kebanyakan syarikat kerana mereka memerlukan pejabat ini untuk menyelaraskan semua inisiatif berkaitan dengan teknologi AI.
“Dalam tempoh 12 bulan akan datang kami menyasarkan untuk mencapai beberapa hasil utama termasuk melengkapkan Pelan Tindakan Teknologi AI.
“Tempoh 12 bulan adalah cadangan menteri, tetapi pada saya, tidak ada sebab untuk menunggu selama 12 bulan, anda sepatutnya dapat menyelesaikannya dalam 6 bulan,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Pusat Data dan Wilayah Awan Google di Malaysia, hari ini.
Selain itu, terdapat penubuhan rangka kerja kawal selia untuk meningkatkan penggunaan teknologi AI yang beretika dan mampan.
Katanya, kerajaan juga akan mempercepatkan penggunaan AI dalam sektor utama di seluruh Malaysia.
Dengan memanfaatkan perkongsian dengan peneraju industri dan mengukuhkan kerjasama di kalangan semua pihak berkepentingan, Malaysia boleh merealisasikan matlamat ini dan mewujudkan peranannya sebagai negara pamacu AI terkemuka di ASEAN.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa