comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia miliki antara liputan 5G terbaik dunia

Oleh: Nurin Farhana Rishdy

KUALA LUMPUR: Malaysia telah diiktiraf sebagai salah satu negara dengan rangkaian 5G terbaik di dunia, dengan liputan 81.5 peratus kawasan berpenduduk dalam tempoh dua tahun selepas perkhidmatan itu dilancarkan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Gobind Singh Deo, berkata perkembangan rangkaian 5G di Malaysia sangat pesat, dengan lebih 13 juta rakyat Malaysia telah melanggan perkhidmatan 5G.

“Ini dapat meningkatkan industri runcit dalam talian, seperti memudahkan urusan jualan dan pembelian terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya dalam Majlis Pelancaran Kerjasama antara Digital Nasional Bhd (DNB) dan Shopee Malaysia hari ini.

Beliau berkata penggunaan platform dan penjual e-dagang menggunakan kecerdasan buatan (AI) dapat memudahkan cerapan yang lebih baik tentang corak pembelian pelanggan.

“Teknologi kecerdasan buatan (AI) dapat membantu memahami tingkah laku pembelian pelanggan, menjangka jumlah permintaan serta menetapkan strategi harga untuk peniaga tempatan,” tambahnya.

“Gabungan teknologi digital terkini dan kepintaran para penjual dalam talian di Malaysia bermakna tiada had untuk industri runcit kita berkembang terutamanya untuk berada di peringkat antarabangsa.”

Tambahnya, pendigitalan bukan sahaja membawa peluang untuk perniagaan, tetapi ia juga membawa persaingan yang lebih sengit daripada pengguna di seluruh rantau ini.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor e-dagang telah menyumbang lebih daripada 38% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, yang dianggarkan kira-kira RM580 bilion pada dua tahun lepas.

Ini terbukti bahawa sektor e-dagang telah memberi impak ekonomi dan sosial yang besar kepada Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini