comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia negara utama rantaian bekalan semikonduktor dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia adalah peserta utama dalam rantaian bekalan semikonduktor global dengan tujuh peratus aliran perdagangan semikonduktor global adalah menerusi negara ini yang juga pengeksport elektronik/semikonduktor keenam terbesar global.

Sehubungan itu, Malaysia perlu meningkatkan lagi rantaian nilai dalam reka bentuk litar bersepadu (IC), menarik pelaburan langsung asing (FDI) dalam fabrikasi wafer dan pembungkusan maju untuk terus kekal berdaya saing dalam pasaran semikonduktor global, demikian menurut peserta industri.

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai, berkata tinjauan jangka panjang bagi industri semikonduktor global kekal kukuh dengan ia dijangka mencecah AS$1 trilion menjelang 2030.Beliau berkata, prospek jangka panjang pasaran semikonduktor akan terus dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran berawan dan sebagainya.

“Malaysia perlu meningkatkan rantaian nilai dalam reka bentuk IC, FDI fabrikasi wafer, pembungkusan maju, automasi pintar dan peralatan maju.

“Malaysia juga memberi tumpuan untuk melahirkan syarikat tempatan peneraju global,” katanya pada Siri Persidangan Sarapan Nomura 2024 bertajuk ‘Revolusi adalah Sekarang: Peranan Cip Semikonduktor dalam Kemajuan AI’ anjuran Nomura Asset Management Malaysia Sdn Bhd hari ini.

Mengenai prospek tahun ini, Siew Hai berkata, industri semikonduktor dijangka lebih baik terutamanya pada separuh kedua selepas mencatatkan prestasi hambar pada tahun lalu, disokong oleh permintaan yang lebih baik.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Negara Nomura Asset Management Malaysia, Leslie Yap, berkata pihaknya melihat potensi pertumbuhan jangka panjang bagi industri semikonduktor yang kukuh.

Beliau berkata, produk dana Syariah yang dilancarkan pada Julai 2022 dikenali ‘Nomura Global Shariah Semiconductor Equity Fund’ mencatatkan prestasi memberangsangkan dipacu perkembangan pantas digitalisasi dan kemajuan dalam AI.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini