comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia pamer inovasi, kepakaran industri rel di Jerman

KUALA LUMPUR: Industri rel Malaysia yang dinamik dijangka mempamerkan inovasi, kepakaran dan keupayaan terkininya di InnoTrans 2024, pameran perdagangan terkemuka untuk teknologi pengangkutan.

Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Frankfurt, Mohamad Termizi Piee, berkata InnoTrans 2024, yang dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 27 September 2024 di Berlin, Jerman, menghimpunkan pemimpin industri, inovator dan pihak berkepentingan untuk menerokai trend dan perkembangan terkini dalam pengangkutan rel.

“Penyertaan Malaysia dalam acara yang dianjurkan oleh MATRADE akan membolehkan kita menonjolkan kepakaran dalam industri rel, khususnya dalam bidang inovasi teknologi, penyelesaian mampan, ‘rolling stock’, penyelesaian digital dan MRO,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Termizi berkata, Malaysia berpotensi meneroka pasaran kereta api Jerman yang berusaha memodenkan infrastruktur, menambah baik perkhidmatan serta sebagai menggalakkan kelestarian.

“Prospek pertumbuhan pasaran adalah ketara, didorong oleh permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan rel berikutan dorongan untuk pengangkutan mesra alam, penambahbaikan infrastruktur dan teknologi baharu, dengan pasaran pengangkutan rel global dijangka mencecah RM3.1 trilion menjelang 2030,” katanya.

InnoTrans ialah pameran perdagangan antarabangsa terkemuka yang mempamerkan teknologi pengangkutan, merangkumi semua aspek pengangkutan rel, daripada infrastruktur hinggalah rolling stock, sistem isyarat dan penyelesaian pendigitalan.

Diadakan dua tahun sekali, InnoTrans menarik profesional industri, pempamer dan pelawat dari seluruh dunia.

Acara itu menyediakan platform berharga bagi syarikat rel Malaysia untuk menyerlahkan kemajuan mereka dalam teknologi rel, kemampanan dan kerjasama industri.

Sektor kereta api Jerman memberikan peluang besar kepada firma Malaysia, khususnya dalam domain bekalan kuasa, teknologi isyarat, ‘rolling stock’, teknologi landasan, bersama perkhidmatan penyelenggaraan, perkhidmatan pembaikan dan baik pulih (MRO) serta aktiviti pembuatan semula.

Pada 2023, jumlah dagangan Malaysia ke pasaran Jerman berjumlah RM47.8 juta, meningkat 25 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Industri rel Malaysia mengeksport RM547.2 juta di peringkat global tahun lalu dengan lima destinasi teratas masing-masing ialah Singapura, China, Taiwan, Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong.

Produk eksport utama industri rel Malaysia termasuk kontena kargo, ‘rolling stock’ dan bahagian kereta api serta peranti isyarat.

Secara keseluruhan, perdagangan global Malaysia dalam sektor rel meneruskan aliran menaik pada 2023 dengan peningkatan dua angka sebanyak 14.3 peratus untuk mencecah RM1.3 bilion.

MATRADE berhasrat untuk meningkatkan eksport produk dan perkhidmatan rel untuk memanfaatkan trend global yang bangkit semula ke arah pengangkutan rel dalam era pasca pandemik,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pecutan Eksport) MATRADE, Abu Bakar Yusof, berkata agensi itu bersedia untuk membuktikan komitmennya dalam memacu kemajuan teknologi dan penyelesaian mampan dalam sektor rel global dengan menghantar delegasi terbaik merangkumi peserta utama dalam industri, agensi kerajaan dan persatuan perdagangan ke InnoTrans 2024.

“Antara ciri yang membezakan industri rel Malaysia ialah penekanannya terhadap kemampanan. Menerima teknologi hijau dan melaksanakan amalan mesra alam menyerlahkan komitmen Malaysia ketika negara bersedia untuk menjadi antara peneraju serantau dan global dalam pembangunan infrastruktur kereta api.

“Usaha ini selaras dengan inisiatif MATRADE dalam memudahkan pengeksport Malaysia untuk menerima dan menerima pakai kemampanan dan akhirnya menyumbang kepada usaha global untuk memerangi perubahan iklim,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini