comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia perlu runding dengan EU mengenai CSRD baharu – MPOC

Foto: NSTP – Kelapa sawit

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu berunding dengan Kesatuan Eropah (EU) mengenai Arahan Pelaporan Kemampanan Korporat (CSRD) baharunya dan sebarang peraturan pada masa depan yang akan memberi kesan besar kepada pelbagai syarikat yang beroperasi di blok perdagangan terbesar dunia itu, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

MPOC menjelaskan syarikat juga perlu bersedia untuk memastikan pematuhan terhadap kewajipan pelaporan baharu itu.

“Memandangkan CSRD yang baharu mula berkuat kuasa, maka peraturan baharu akan mula dilaksanakan secara berperingkat.

“Pada 2024 untuk syarikat yang sudah tertakluk kepada obligasi pelaporan semasa manakala pada 2025 untuk syarikat besar yang pada masa ini tidak tertakluk kepada obligasi pelaporan, dan pada 2026 pula untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

MPOC menambah syarikat yang dilindungi oleh CSRD perlu mematuhi Piawaian Pelaporan Kemampanan Eropah, yang masih dirangka oleh Kumpulan Penasihat Pelaporan Kewangan Eropah.

Ia mengehendaki syarikat yang ‘dilindungi’ melaporkan kemampanan korporat menerusi bahagian khusus dalam laporan pengurusan syarikat, yang mesti tersedia untuk umum.

Parlimen Eropah dan Majlis EU mula menerima guna CSRD baharu bulan ini, yang akan menambah baik dan memperluaskan kewajipan pelaporan kemampanan secara ketara untuk pelbagai syarikat.

Menurut MPOC syarikat yang dilindungi dikehendaki memasukkan penyata bukan kewangan yang mengandungi maklumat mengenai dasar yang mereka laksanakan berkaitan “hal alam sekitar, sosial dan pekerja, menghormati hak asasi manusia, antirasuah dan perkara rasuah” dalam laporan pengurusan mereka.

CSRD baharu itu akan terpakai bagi semua syarikat EU yang besar, termasuk anak syarikat EU di bawah syarikat induk bukan EU selain PKS yang disenaraikan di pasaran terkawal, jelasnya.

Ia menambah yang penting, CSRD juga akan memberi kesan ke atas usaha bukan EU dengan perolehan tahunan yang dijana EU melebihi 150 juta euro serta yang mempunyai sama ada anak syarikat EU yang besar atau tersenarai atau cawangan EU penting yang menjana perolehan bersih lebih 40 juta euro di EU.

Pada tahun lepas, Suruhanjaya Eropah menerbitkan Cadangan untuk CSRD dengan objektif bagi menyemak dan memperkukuh peraturan Arahan Pelaporan Bukan Kewangan (NFRD) semasa EU.

Pada masa ini, NFRD menyediakan peraturan mengenai pendedahan maklumat bukan kewangan dan kepelbagaian yang mesti dipatuhi oleh syarikat besar yang disenaraikan dalam NFRD, bank dan syarikat insurans yang mempunyai lebih 500 pekerja. – BERNAMA

Loading...
Terkini