comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia pilihan pelabur asing, tawar pulangan mampan – Penganalisis

Oleh: Juliana Pija Ismail

KUALA LUMPUR: Komitmen pelaburan hampir RM20 bilion daripada China selain keyakinan pengurus dana terbesar dunia, Norges Bank meraih kepentingan syarikat tempatan, bukti negara kekal menjadi destinasi menarik untuk pelabur asing.

Penganalisis melihat ia disokong kemampuan negara menawarkan nilai yang baik terutama untuk pelaburan jangka panjang.

“Dasar kerajaan yang mesra pelabur serta landskap perundangan yang jelas mampu melindungi hak-hak pelabur dan seharusnya boleh dijadikan ‘selling point’ dalam menarik pelaburan asing ke dalam negara kita” kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan komitmen pelaburan kedua dari China tahun ini dengan nilai RM19.84 bilion.

Ia merangkumi usahasama pelbagai bidang termasuk tenaga boleh diperbaharu dan minyak sawit.

Lawatan pertama menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi berjumlah RM170 bilion daripada ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Dalam pada itu, pengurus dana kekayaan Norway, Norges Bank juga memperoleh 5.03 peratus kepentingan dalam syarikat tempatan, Cahya Mata Sarawak.

Bank Norges mempunyai nilai 15.299 trilion kroner bersamaan dengan RM6.7 trillion pada 30 Jun 2023.

Sementara itu, bagi tempoh enam bulan pertama 2023, Malaysia berjaya menarik RM132.6 bilion nilai pelaburan diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama melibatkan 2,651 projek.

Ia dijangka mewujudkan 51,853 peluang pekerjaan di negara ini.

Loading...
Terkini