KUALA LUMPUR: Malaysia, Indonesia dan Thailand dijangka menarik pelaburan asing susulan kebanyakan syarikat berusaha untuk mengurangkan risiko daripada melabur di China, kata Moody’s Analytics.
Moody’s berkata apabila permintaan global beralih dari China ke Amerika Utara, negara-negara Asia akan mencari pelaburan baharu.
Ekonomi di Asia-Pasifik (APAC) juga semakin perlahan di bawah tekanan akibat perdagangan global yang perlahan, ketidaktentuan pemulihan ekonomi China daripada pandemik, kadar faedah tinggi dan beberapa pengetatan dasar fiskal, katanya.
“Impak terbesar ke atas seluruh Asia daripada kemelesetan ekonomi di China adalah melalui perdagangan. Bagaimanapun, negara-negara Asia akan mengelak daripada menghadapi kemelesetan tetapi tempoh baharu bagi pertumbuhan kukuh mungkin tidak akan berlaku sehingga pertengahan tahun 2024,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Moody’s berkata, faktor paling penting yang menyebabkan ekonomi China perlahan ialah hutang yang tinggi dan kekurangan permintaan dalam industri pembangunan hartanah.
“Justeru, salah satu faktor utama yang membolehkan ekonomi APAC berkembang ialah penurunan inflasi, yang sedang berlaku sejak akhir tahun lepas.
“Antara lima negara di Asia Tenggara, tiada negara di rantau itu yang menyaksikan ketibaan pelancong kembali ke tahap prapandemik, sama seperti pada akhir tahun 2019.
“Bagaimanapun, sedikit peningkatan dijangka akan berlaku pada beberapa tahun akan datang kerana China baru-baru ini membenarkan pengaturan pengembaraan secara berkumpulan untuk perjalanan ke luar negara ke seluruh Asia tetapi ia hanya jangkaan kerana semuanya bergantung sama ada rakyat China mahu berbelanja mengembara dan berbelanja di luar negara,” katanya.