comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia tidak akan alami kemelesetan teknikal 2023

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka tidak akan alami kemelesetan teknikal ekonomi tahun hadapan meskipun berdepan kesan kelembapan ekonomi utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Kebarangkalian bagi Malaysia adalah rendah untuk mencatat kemelesetan ekonomi tahun depan berdasarkan angka kemelesetan teknikal sejak 1970, demikian menurut RHB Investment Bank Bhd.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan dan Ketua Penyelidik Pasarannya, Dr Sailesh K Jha, berkata berdasarkan kemelesetan teknikal yang telah berlaku sebelum ini, ia disebabkan faktor luaran, namun terdapat juga ketidakseimbangan ekonomi domestik yang lazim seperti fiskal dan ketidakselarasan kadar pertukaran.

“Kesimpulannya, agak sukar untuk berlakunya kemelesetan di Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sailesh berkata, pembolehubah yang boleh menyebabkan perubahan besar penurunan dalam kitaran perniagaan dan berpotensi kemelesetan perlu mengambil kira beberapa faktor.

“Ini termasuk krisis kewangan dunia yang membawa kepada kejatuhan perdagangan global dan memiliki kesan maklum balas kepada kejatuhan eksport Malaysia serta kelemahan ketara ringgit.

“Dalam senario ini, kecairan domestik dan keadaan monetari juga lebih ketat dengan ketara sehingga pinjaman kepada pengguna dan perniagaan terjejas. Hasil bon terjejas dan pasaran saham merosot dengan ketara.

“Beberapa elemen dinamik itu terbukti dalam tempoh kemelesetan suku pertama hingga suku ketiga 2009 dan suku pertama 1998 hingga suku pertama 1999,” katanya.

Beliau menjelaskan, satu lagi faktor adalah kejutan harga komoditi yang ketara, termasuk penurunan besar dalam harga minyak seperti yang diperhatikan dalam tempoh kemelesetan suku pertama 1985 hingga suku ketiga 1986.

Katanya, krisis fiskal domestik, di mana nisbah hutang berbanding KDNK negara mula menjejaki paras 75 hingga 85 peratus daripada KDNK secara berterusan juga perlu diambil kira.

“Di bawah senario ini, penarafan kedaulatan negara diturunkan kira-kira dua takuk dan kos pembiayaan domestik meningkat dengan ketara.”

Satu-satunya pemerhatian serupa yang kami ada, walaupun tidak sama seperti isu fiskal endemik dan bukan krisis yang tepat adalah pada 1981 hingga 1985 menuju ke tempoh kemelesetan suku pertama 1985 hingga suku ketiga 1986,” katanya.

Sementara itu, Sailesh berkata, kenaikan harga minyak mentah pada suku pertama 2022 dan lonjakan ketara harga komoditi itu mungkin mencetuskan kepercayaan bahawa harga minyak yang lebih tinggi akan membawa kepada penurunan ketara dalam pertumbuhan global.

Bagaimanapun, katanya, kesannya bergantung kerana setiap negara mempunyai dinamik yang berbeza termasuk penurunan mendadak harga minyak sebenar tidak akan membawa kepada kemelesetan di Malaysia.

“Malaysia adalah pengeksport minyak bersih dan keputusan kajian kami mencadangkan kenaikan harga minyak akan disertai dengan kenaikan keluaran dalam negara kasar (KDNK),” katanya.

Dari segi inflasi indeks harga pengguna (IHP), beliau berkata adalah tidak jelas bahawa harga minyak mempunyai kesan sebab dan akibat terhadap inflasi domestik. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini