
Oleh: Afrina Romzi
SHAH ALAM: Malaysia wajar perkenal Skim Pencen Universal daripada hasil kutipan cukai untuk memberi pendapatan sama rata minimum kepada setiap pesara.
Pakar Kanan Dasar Sosial, Development Pathways Ltd, Dr Stephen Kidd, berkata Malaysia agak ketinggalan untuk melaksanakan skim ini kerana banyak negara di Asia telah melaksanakannya.
“Boleh mula diberi pencen pada umur 75 atau 70 tahun dan kurangkan beberapa tahun hingga 65 tahun. Fikirkan jumlah minimum yang anda mahu berikan, boleh beri sekurang-kurangnya RM500 iaitu kadar yang diberi kepada kumpulan susah sedia ada,” katanya ketika ditemui pada sesi perbincangan mengenai pelan persaraan negara, hari ini.
Tambah beliau, terdapat peluang yang besar untuk ahli politik yang progresif untuk mengubah Malaysia menerusi polisi yang bagus dan memberikan kebaikan kepada rakyat.
Mengulas cadangan peningkatan umur persaraan kepada 66 tahun, beliau menyokong cadangan itu susulan Malaysia ke arah menjadi negara menua.
“Seperti di United Kingdom telah memansuhkan had umur pencen. Mereka mendapat ganjaran pencen dan kembali bekerja. Jadi saya fikir, kemungkinan tidak ada masalah untuk meningkatkan had umur. Ramai juga akan menghargai. Lebih banyak simpanan yang boleh dibuat, lebih tinggi jumlah yang mereka boleh menikmati pada hari tua,” katanya.
Kidd juga percaya, peningkatan had umur ini tidak akan menjejaskan keupayaan golongan muda untuk mendapatkan kerja jika dirancang dengan teratur.
Di Malaysia, terdapat banyak kekosongan pekerjaan yang memerlukan kepakaran mereka.
“Antara Malaysia perlu meningkatkan populasi rakyat atau memerlukan warga asing untuk memenuhi pekerjaan. Untuk itu, wajar untuk mengekalkan mereka yang berumur dalam tenaga buruh dalam masyarakat menua di Malaysia.
“Jadi perlu ada satu peralihan kerana akan ada lebih banyak pekerja akan datang. Perlu selaraskan peningkatan had umur, pastikan lebih banyak pekerja mendapat pekerjaan.
“Malaysia memerlukan pekerja berkemahiran tinggi. Mereka berumur 60, 65 tahun, tidak berkemahiran tinggi dan perlu kekalkan mereka bekerja dan kamu boleh peruntukkan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada golongan muda yang baru sahaja menceburi pekerjaan,” katanya.
Jelasnya, bercakap tentang perlindungan sosial, usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang bagus juga perlu ditingkatkan.