comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia yakin bawa pulang RM13 bilion pada Ekspo Dunia 2025

KUALA LUMPUR: Malaysia yakin meraih peluang perniagaan besar bernilai sekitar RM13 bilion hasil limpahan daripada Ekspo Dunia 2025 yang akan diadakan di Osaka, Jepun selama enam bulan bermula 13 April hingga 13 Oktober 2025.

Sasaran itu dijangka daripada eksport dan pelaburan melalui penyertaan Malaysia di ekspo terbabit.

Sasaran itu juga melebihi RM8.3 bilion yang dijana melalui nilai perdagangan dan pelaburan daripada Ekspo Dunia Dubai dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022.

“Sebelum ini, Malaysia telah menyertai Ekspo Dunia Dubai pada 2022 membabitkan lebih daripada 400 syarikat Malaysia dan menjana hampir 5,000 peluang perniagaan.

“Justeru, Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) optimis Ekspo Dunia 2025 mampu menjana potensi bernilai sekitar RM13 bilion untuk eksport dan pelaburan daripada penyertaan Malaysia.

“MITI teruja untuk mengetuai kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan utama termasuk kementerian, agensi, kerajaan negeri dan perniagaan,” katanya.

MITI juga berhasrat untuk memanfaatkan platform strategik itu bagi menarik pelaburan berkualiti dan teknologi tinggi ke Malaysia serta untuk memperluas pasaran sedia ada dan meneroka pasaran baharu.

Kerajaan juga akan memudah cara perbincangan perniagaan melalui Pavilion Malaysia dengan menyediakan ruang dan pelbagai sokongan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan negara serta membina perkongsian strategik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini