comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MAN Malaysia perkenal casis bas elektrik tahun depan

Casis MAN eBus

KUALA LUMPUR: MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia) dijangka menawarkan casis bas elektrik sepenuhnya dengan pelepasan karbon sifar bersama dengan casis konvensional yang dikuasakan oleh enjin Euro V bermula tahun depan.

Pengeluar jenama kenderaan komersial terkemuka Jerman itu dalam satu kenyataan berkata, untuk pasaran Malaysia, casis MAN eBus boleh didapati sebagai kenderaan dua gandar dengan lantai rendah (LF) yang sesuai untuk pengangkutan awam bandar.

Katanya, ia dikuasakan oleh motor elektrik dengan kuasa berterusan 160 kW dan tork maksimum 2100 Nm dipadankan dengan kotak gear kelajuan tunggal.

“Dengan bekalan elektrik sama ada daripada bateri 4-pek 320 kWj atau 6-pek 480 kWj berteknologi NMC (lithium-nikel-mangan-kobalt), casis MAN eBus mempunyai jarak perjalanan sehingga 350 kilometer (km) dengan sekali cas,” katanya.

MAN Malaysia dan Gemilang International Limited (GML), yang juga syarikat bas dan badan bas Malaysia disenaraikan di pasaran saham Hong Kong menampilkan casis MAN eBus buat pertama kali di Malaysia pada majlis pratonton khas untuk pengendali bas dan pegawai kerajaan di ibu pejabat GML di Senai, Johor.

Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks, berkata syarikat itu yakin casis MAN eBus, dengan fleksibiliti dan prestasi yang telah terbukti, akan menjadi platform yang sempurna untuk pengendali bas Malaysia beralih kepada mobiliti elektro.

“Kami merancang untuk memasang casis MAN eBus secara tempatan untuk menjadikan harganya lebih kompetitif bagi mereka yang berminat untuk menyertai kami dalam perjalanan ke arah kemampanan.

“Dengan program pemasangan tempatan (CKD), kami menjangkakan bas elektrik akan mencapai sekurang-kurangnya 20 peratus daripada jualan keseluruhan bas MAN di Malaysia menjelang 2026,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini