comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Masa yang tepat sekiranya KWSP rancang lupus aset runcit lain 

FOTO: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

KUALA LUMPUR: Ia adalah masa yang tepat bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekiranya mereka merancang untuk melupuskan satu lagi aset runcit di Lembah Klang untuk pengeluaran tunai dan meraih keuntungan daripada pelaburannya, kata seorang pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata KWSP sentiasa melakukan langkah berhemat dalam aktiviti pelaburan mereka berpandukan kepada kawalan dalaman mereka iaitu Jawatankuasa Pelaburan dan Panel Pelaburan serta tadbir urus dan Peruntukan Aset Strategik (SAA).

“Berdasarkan keadaan pasaran semasa, pasar raya besar mungkin telah mencapai tempoh matang dimana terdapat ramai pemain dalam pasaran.

“Selain itu, persaingan daripada penggiat kecil yang menempatkan premis perniagaan mereka berhampiran dengan hartanah kediaman boleh memberi cabaran kepada ruang pasar raya besar,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata cabaran itu melibatkan pelaburan semula hasil tersebut dan mencipta lebih nilai untuk ahlinya.

“Mungkin memasuki segmen berbeza dalam sektor hartanah komersial seperti pergudangan dan pusat data boleh menjadi beberapa pilihan untuk KWSP.

“Akhirnya, KWSP harus mengikuti perkembangan terkini dalam landskap pelaburan dan membuat langkah tepat pada masanya untuk merebut peluang pelaburan yang sesuai,” tambahnya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata keputusan untuk melupuskan aset runcit itu adalah strategi yang baik sekiranya harganya adalah munasabah.

“Namun, kami masih tidak tahu harga belian tersebut. KWSP tidak memberikan sebarang butiran,” katanya.

Semalam, laporan berita menyatakan bahawa KWSP sedang dalam proses menjual satu lagi aset runcit di Lembah Klang.

Bagaimanapun, KWSP masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.

Bulan lepas, ia menjual portfolio enam aset runcit di Lembah Klang dan Johor bernilai RM520 juta kepada Sunway Real Estate Investment Trust.

Loading...
Terkini