comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Masteel muncul kilang keluli pertama disenaraikan di FTSE4GOOD Bursa

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia Steel Works (KL) Bhd (Masteel) tampil sebagai kilang keluli bersepadu ‘pelepasan karbon ultra rendah’ yang pertama disenaraikan di Indeks FTSE4GOOD Bursa Malaysia selepas melabur lebih RM60 juta untuk pelbagai inisiatif mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) dalam operasinya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Tai Hean Leng berkata pencapaian perintis Masteel dalam indeks itu, disumbangkan oleh dedikasi, visi dan kejayaan yang meluas dalam merevolusikan industri pembuatan keluli dalam proses pembuatan terasnya.

Menurutnya, pengeluar keluli bersepadu itu meraih tiga daripada empat bintang bagi penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan syarikat senaraian awam (PLC) di FBM Emas, sekali gus meletakkannya dalam kalangan 26 hingga 50 peratus PLC terbaik yang dinilai oleh FTSE Russell.

“Kami telah melabur kira-kira RM60.66 juta untuk pelbagai inisiatif pengurangan CO2 ke arah matlamat kami untuk mengurangkan jumlah pelepasan CO2 sekitar 7,300 tan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kumpulan juga berhasrat untuk mengurangkan pelepasan sebanyak 10 peratus lagi pada 2026 dan 15 peratus menjelang 2031.

“Pada masa sama, kami juga akan memperluas sistem pemantauan pelepasan kami daripada Skop 1 dan 2 pada masa ini kepada Skop 3, untuk melaksanakan peningkatan tambahan secara sistematik dan mampan,” katanya.

Menurutnya Masteel telah menumpukan untuk meminimumkan bahan pencemar udara lain di samping langkah mengurangkan pelepasan CO2, antaranya melalui pemasangan Sistem Pemantauan Pelepasan Berterusan di kilang Bukit Raja, Klang pada 2021 yang berupaya mengesan jirim zarahan, nitrogen dioksida dan pelepasan sulfur dioksida pada masa nyata. – BERNAMA

Loading...
Terkini