comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Matrade Ketuai Syarikat F&B Tempatan Dalam Salon International De I’alimentation Paris

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengetuai penyertaan 45 syarikat Malaysia dalam pameran perdagangan makanan dan minuman (F&B) terkenal dunia, Salon International de I’Alimentation Paris 2022 mulai 15 hingga 19 Oktober.

Dalam kenyataan pada Jumaat, MATRADE menjelaskan penyertaan mereka akan memperluas jejak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) F&B Malaysia di Eropah dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara penyumberan F&B pilihan.

Menurut agensi itu, peserta akan mempamerkan pelbagai jenis produk F&B Malaysia yang berkualiti dan berdaya saing seperti produk minyak sawit, koko, biskut dan konfeksioneri, makanan sedia untuk dimakan, minyak masak dan rempah ratus.

“Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM) juga akan mengambil bahagian dalam acara itu melalui Pavilion Malaysia untuk meningkatkan lagi penjenamaan masing-masing di samping meraih peluang eksport untuk minyak sawit dan produk koko Malaysia,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Seksyen Halal, F&B dan Asas Tani MATRADE, Remee Yaakub berharap peserta Malaysia akan menekankan dan mengenal pasti keperluan untuk menerima pakai aspek kemampanan, penggunaan beretika dan penyumberan bertanggungjawab dalam penawaran mereka.

“Semua ini adalah pertimbangan penting jika mereka mahu meraih peluang bernilai tinggi di Kesatuan Eropah (EU),” katanya.

Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Frankfurt, Zuhaila Sedek pula berkata pihaknya yakin minat yang diperoleh PKS Malaysia daripada pembeli EU akan menjadi pengaruh utama untuk meningkatkan ketersediaan mereka dalam mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh EU.

“Ini penting kerana kita tahu perniagaan EU kini sedang mempelbagaikan lokasi penyumberan mereka dan banyak tumpuan kini diberikan kepada ASEAN,” katanya.

EU terus menjadi rakan dagang penting bagi Malaysia.

Dari Januari hingga Ogos tahun ini, perdagangan antara Malaysia dan EU berkembang 22.9 peratus kepada RM141.90 bilion, dengan jumlah eksport ke EU meningkat 25.2 peratus kepada RM83.42 bilion manakala jumlah import dari EU naik 19.7 peratus kepada RM58.48 bilion. – BERNAMA

Loading...
Terkini