comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MATRADE Tingkat Usaha Promosi Produk Malaysia Ke Pasaran Baharu

FOTO: Berita Harian

KUALA LUMPUR : Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah memudahkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global melalui program pembangunan dan promosi eksport pengeksportnya sejak tahun 1993.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) Abu Bakar Yusof berkata melangkah ke hadapan, MATRADE meningkatkan usahanya untuk lebih banyak produk dan perkhidmatan Malaysia menembusi pasaran baharu.

Salah satu daripadanya adalah Misi Pecutan Eksport (EAM) ke Manila, Filipina dari 22 hingga 26 Ogos 2022, ia antara pelbagai inisiatif yang disediakan oleh MATRADE untuk tahun 2022.

“Terdapat sebanyak 286 program yang merangkumi program pembangunan pengeksport dan promosi eksport.

“Program ini akan berfungsi sebagai saluran berkesan untuk pengilang Malaysia dan penyedia perkhidmatan profesional bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan bertaraf dunia mereka di peringkat global yang akhirnya akan membawa kepada pengembangan pasaran eksport Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

MATRADE bersama-sama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) serta SME Bank akan mengaturkan penyertaan 12 syarikat Malaysia dalam EAM ke Manila.

“Kerjasama strategik ini adalah tepat pada masanya untuk membantu PKS Malaysia dalam aktiviti eksport dan mempelbagaikannya ke pasaran baharu,” kata Abu Bakar.

Beliau berkata objektif EAM itu adalah untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan Malaysia ke Filipina dengan menyediakan platform untuk syarikat tempatan meneroka dan mengenal pasti peluang perniagaan baharu melalui pemadanan perniagaan, sesi ‘pitching’ (mempersembahkan pelan perniagaan) serta mengadakan lawatan.

“Ia merupakan platform terbaik untuk menembusi pasaran, memanfaatkan penyertaan pemain pasaran Filipina berprofil tinggi dan terkemuka yang mencari peluang perniagaan baharu,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini