Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mampu menjana RM500 juta transaksi jualan dalam Ekspo China-Asean (CAEXPO 2023) yang bakal berlangsung di Guangxi, China.
150 pengeksport tempatan akan menyertai ekspo yang diadakan pada kali ke-20 September ini.
Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata “China mempunyai sekitar 400 juta rakyat yang dikategorikan sebagai golongan berpendapatan sederhana dan golongan ini adalah kuasa pengguna besar, ia juga pasaran eksport utama bagi semua negara di dunia. Kami ingin juga memahami perubahan citarasa dan pilihan bagi golongan berpendapatan sederhana di China.”
Beliau berkata sedemikian selepas perasmian persidangan promosi untuk CAEXPO bertemakan “Your Preferred Entryway To China Market” di sini hari ini.
Sepanjang tempoh 5 tahun ini, Pavilion Malaysia di CAEXPO telah berjaya catat lebih RM2 bilion ringgit transaksi jualan.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sharimahton Mat Saleh, Pavilion Malaysia di CAEXPO 2023 bukan sahaja akan menampilkan makanan dan minuman, tetapi juga sektor-sektor berpotensi tinggi seperti kesihatan dan kesejahteraan, gaya hidup serta perkhidmatan seperti pendidikan, pelancongan, pelancongan perubatan dan logistik.
Mengenai sasaran jualan, beliau berkata, “Meskipun jualan tertinggi direkod di CAEXPO sekitar RM700 juta, sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini adalah munasabah memandangkan ramai pengeksport Malaysia masih dalam proses pemulihan daripada pandemik itu.”
Sejak pembukaan sempadan China Januari 8 lalu, terdapat petanda kukuh prospek pemulihan yang positif di ekonomi kedua terbesar dunia itu.