comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Maybank IB semak naik unjuran lebihan akaun semasa 

KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) telah menyemak semula unjuran lebihan akaun semasa Malaysia bagi tahun 2022 kepada RM34 bilion, atau 2.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), daripada RM22.5 bilion sebelum ini.

Pada 2021, lebihan akaun semasa berjumlah RM58.7 bilion atau 3.8 peratus daripada KDNK.

Menurut bank pelaburan itu, lebihan akaun semasa pada suku ketiga 2022 melonjak kepada RM14.1 bilion (3.1 peratus daripada KDNK) berbanding RM4.4 bilion (1.0 peratus daripada KDNK) pada suku sebelumnya terutama disebabkan lebihan yang lebih besar dalam perdagangan barangan berjumlah RM43.0 bilion.

Sementara itu, defisit perdagangan perkhidmatan turun kepada RM9.6 bilion pada suku ketiga berbanding RM12.3 bilion pada suku kedua, dengan defisit yang lebih kecil dalam perkhidmatan pengangkutan, dan lebihan dalam perkhidmatan pelancongan/perjalanan di tengah-tengah pembukaan semula sempadan antarabangsa.

“Dengan momentum pemulihan ekonomi berterusan (disebabkan pembukaan semula), peningkatan dalam permintaan domestik, harga komoditi global yang semakin baik serta nilai ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS akan menjuruskan kepada pertumbuhan import yang lebih tinggi manakala pertumbuhan eksport pula menghadapi halangan luar daripada kelemahan ekonomi global yang berterusan,” katanya dalam satu nota hari ini.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam Tinjauan Ekonomi Dunia bulan Oktober 2022, telah mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK sebenar global untuk 2022 pada 3.2 peratus tetapi menyemak turun pertumbuhan untuk tahun 2023 kepada 2.7 peratus daripada 2.9 peratus yang diunjurkan sebelum ini.

Walaupun pertumbuhan jumlah perdagangan dunia untuk 2022 telah disemak naik kepada 4.3 peratus daripada 4.1 peratus, unjuran pertumbuhan perdagangan untuk 2023 dikurangkan kepada 2.5 peratus daripada 3.2 peratus.-BERNAMA

Loading...
Terkini