comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Maybank lantik Michael Oh-Lau Chong Jin sebagai CEO MIBG

Michael Oh-Lau Chong Jin

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) melantik Michael Oh-Lau Chong Jin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Investment Banking Group (MIBG), berkuat kuasa 1 Disember 2022.

Menurut kenyataan Maybank pada Khamis, Michael akan menggantikan Datuk Ami Moris yang akan bersara sebagai CEO.

Justeru, beliau akan bertanggungjawab menyelia kesemua perkhidmatan perbankan pelaburan, khidmat nasihat, penyelidikan, pembrokeran dan pembrokeran utama di Malaysia dan merentas platform serantau MIBG.

Beliau mempunyai pengalaman perbankan borong yang luas sepanjang tempoh 27 tahun berkhidmat dengan kumpulan, meliputi pelaburan dan perkhidmatan perbankan korporat di seluruh francais serantau Maybank dan pusat kewangan strategik yang terletak di seluruh dunia.

Peranan kepimpinan beliau dalam Maybank termasuk sebagai Pengarah Urusan, Ketua Serantau Pasaran Hutang di Maybank Investment Bank dan Pengarah Urusan, Perbankan Korporat untuk Perbankan Global Kumpulan, jawatan yang dipegangnya sejak enam tahun lepas.

Michael memegang ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan Am dari Indiana University of Pennsylvania, AS dan telah menghadiri dua program pendidikan eksekutif iaitu Program Jurubank Pacific Rim dari University of Washington dan Program Eksekutif dari Darden School of Business of University of Virginia.

Presiden dan CEO Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata Maybank bersedia untuk menyokong Michael dalam segmen pertumbuhan MIBG seterusnya selaras dengan strategi M25+ Kumpulan yang diperhalusi untuk menyampaikan penyelesaian yang disesuaikan dengan keperluan khusus setiap pelanggan merentas semua segmen dan geografi pasaran kami.

“Ini memberikan pengalaman pelanggan yang luar biasa dan tawaran pelaksanaan perniagaan bertaraf dunia untuk pelanggan kami di seluruh rantau ini,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ami bagi pihak kumpulan, atas kepimpinan, dedikasi dan sumbangan tinggi kepada evolusi dan pembangunan MIBG, termasuk kemas kini terkini strategi M25+ untuk MIBG.

Ami, yang menjadi CEO MIBG sejak lewat 2018 dan berkhidmat dengan MIBG selama 13 tahun, telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan francais perbankan pelaburan yang diiktiraf di peringkat serantau. – BERNAMA

Loading...
Terkini