comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Maybank perkenal Goal-Based Investment untuk pelabur kali pertama

KUALA LUMPUR: Maybank melancarkan ciri pelaburan runcit digital, Maybank Goal-Based Investment bagi membolehkan pelanggan memulakan perjalanan pelaburan dengan mudah.

Tersedia di aplikasi MAE dan laman web Maybank2u, Maybank Goal-Based Investment memperkasakan pelanggan untuk mencapai matlamat kewangan melalui pengalaman digital yang lancar tanpa perlu mengunjungi cawangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar, berkata bank memahami kegusaran pelanggan yang baru mula melabur, ditambah kebimbangan tentang yuran pengurusan dana atau pemprosesan yang tinggi.

“Maybank Goal-Based Investment membantu menepis halangan ini dengan menjadikan pelaburan mudah diakses dan mampu dimiliki oleh semua orang.

“Hanya dengan jumlah minimum RM200, pelanggan boleh mula melabur dengan caj jualan yang rendah dan tiada tempoh ‘lock-in’,” katanya ketika majlis pelancaran yang diadakan di Menara Maybank, di sini, baru-baru ini.

Syed Ahmad Taufiq berkata, pelanggan boleh memulakan perjalanan pelaburan mereka dengan mudah hanya dengan memilih matlamat kewangan peribadi mereka.

Katanya, pemilihan matlamat selaras dengan aspirasi hidup mereka seperti persaraan, perancangan pendidikan anak-anak atau untuk mengembangkan kekayaan.

“Maybank Goal-Based Investment membolehkan pelanggan memilih dana pelaburan pilihan daripada rangkaian tawaran komprehensif yang diuruskan oleh pengurus dana profesional,” katanya.

Pelanggan baharu boleh mendaftar untuk akaun simpanan atau semasa Maybank sepenuhnya dalam talian dalam masa kurang 10 minit, manakala pelanggan yang sudah mempunyai akaun boleh mula melabur serta-merta.

Maybank Goal-Based Investment kemudiannya akan membolehkan pelanggan mencipta portfolio dengan mudah daripada rangkaian dana Unit Amanah yang memenuhi keperluan risiko, matlamat kewangan dan garis masa matlamat mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini