comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MBSB Bank, Celcomdigi memeterai MoU tingkat pendigitalan perbankan 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: MBSB Bank Bhd (MBSB Bank) telah memeterai memorandum persefahaman dengan CelcomDigi sebagai sebahagian daripada kesinambungan langkah pendigitalan bagi mengukuhkan operasi perbankan masa depannya dan memperkayakan pengalaman pelanggan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat berkata perkongsian ini akan meneroka peluang dalam penyelesaian perbankan pintar secara menyeluruh yang merangkumi perkhidmatan komprehensif bagi keselamatan siber, pembiayaan penyelesaian runcit pintar dan teknologi infrastruktur awan.

Syarikat-syarikat itu juga berhasrat untuk bekerjasama mencari peluang komersial baharu selain aktiviti memasuki pasaran secara bersama bagi memberi manfaat kepada pelanggan dan pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib berkata kerjasama dengan CelcomDigi sememangnya merupakan pencapaian utama dalam industri yang semakin kompetitif berikutan kemajuan teknologi.

Bank itu merancang untuk mewujudkan penyelesaian industri Internet Pelbagai Perkara sebagai sebahagian daripada pembiayaan perniagaan dengan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi mesra alam, automasi dan jaminan kualiti.

“Kami juga berhasrat untuk memanfaatkan teknologi awan bagi memajukan keupayaan digital kami kerana ini akan membantu meningkatkan tahap daya saing kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Mohamad Idham Nawawi berkata pengendali rangkaian mudah alih itu teruja untuk menjadi rakan digital MBSB Bank yang dipercayai.

“Kami memiliki kepakaran serta sumber yang tepat bagi membantu memajukan keupayaan digital MBSB Bank dalam perjalanan bank itu ke arah memanfaatkan teknologi untuk membawa produk, perkhidmatan dan pengalaman yang dipertingkatkan kepada pelanggannya.

“Kami berharap dapat membuka lebih banyak nilai daripada sinergi kami, sambil berinovasi secara bersama dalam menyokong agenda digital negara,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini