comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MCMC Lulus Penggabungan Antara Celcom Dan Digi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan notis tiada bantahan kepada cadangan penggabungan antara Digi.Com Bhd dan Celcom Axiata Bhd, melibatkan perniagaan Digi Telecommunications Sdn Bhd dan Celcom (pemohon).

Dalam kenyataan hari ini, MCMC berkata Digi dan Celcom merupakan pengendali perkhidmatan mudah alih kedua dan ketiga terbesar pada masa ini, dan penggabungan ini akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.

“Oleh yang demikian, MCMC telah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap penggabungan ini,” katanya.

Pada 1 April, 2022, MCMC telah mengeluarkan pernyataan isu kepada pemohon, selaras dengan Garis Panduan Penggabungan dan Pengambilalihan bertarikh 17 Mei, 2019 untuk menangani kebimbangan bahawa penggabungan ini akan atau berkemungkinan mengurangkan persaingan dengan ketara bagi sesetengah pasaran komunikasi yang telah dikenal pasti MCMC.

Justeru, menurut MCMC, pemohon telah mengemukakan suatu aku janji yang mengandungi komitmen pemohon untuk mengatasi isu-isu persaingan yang telah diketengahkan oleh MCMC dalam pernyataan isu.

MCMC telah mempertimbangkan komitmen yang ditawarkan oleh pemohon dan berpuas hati bahawa ia akan mengurangkan dengan signifikan isu-isu persaingan yang akan atau mungkin timbul akibat penggabungan ini, katanya.

Pada 8 April, 2021, Axiata dan Telenor Group mengumumkan sedang dalam perbincangan lanjutan untuk melaksanakan penggabungan operasi Celcom dan Digi.

Axiata Group Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia sebelum ini berkata, cadangan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd dan Digi.com Bhd bagi membentuk entiti baharu dikenali sebagai MergeCo dijangka selesai pada separuh kedua 2022.

Salinan aku janji itu boleh dimuat turun melalui laman sesawang MCMC , https://mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/registers/Undertaki ng-Public-Version.pdf — BERNAMA

Loading...
Terkini