comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Media Prima berpeluang jana pendapatan digital lebih besar

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd berpotensi mengambil peluang daripada pertumbuhan memberangsangkan pendapatan media digital yang berkembang daripada hanya RM1 bilion pada 2021 kepada RM1.5 bilion tahun lalu, merangkumi 22 peratus pegangan pasaran pengiklanan.

Media digital merangkumi 12 peratus daripada pendapatan perbelanjaan pengiklanan (ADEX) Media Prima pada separuh kedua 2023, berbanding hanya dua peratus bagi syarikat pesaing, Astro Malaysia Bhd pada tahun kewangan berakhir Januari 2024.

AmInvestment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, ia menjangkakan penguasaan pasaran media digital akan berkembang kepada 24 peratus pada 2024, disokong pengiklanan media sosial kerana pengguna terus bergantung pada telefon mudah alih untuk berita dan hiburan.

“Magna, perunding penyelidikan pasaran global, menjangkakan pendapatan pengiklanan Asia Pasifik meningkat sebanyak 6.3 peratus dengan peningkatan ketara dalam pengiklanan digital,” katanya.

AmInvestment Bank berkata, ADEX meningkat 14 peratus kepada RM1.9 bilion pada suku keempat 2023, didorong oleh pertumbuhan dalam siaran televisyen percuma (13 peratus), digital (21 peratus) dan radio (22 peratus).

Bank pelaburan itu berkata, ia percaya pertumbuhan itu disokong oleh penggunaan bajet pemasaran yang tidak sekata pada akhir tahun oleh pengiklan dan kempen promosi perayaan.

Di samping itu, katanya, ADEX pawagam kembali ke paras prapandemik disokong oleh peningkatan jumlah pengunjung.

“Pada asas tahunan, ADEX meningkat dua peratus kepada RM6.6 bilion pada 2023, didorong oleh pengiklanan digital (13 peratus).

“Bahagian pendapatan ADEX meningkat dua mata peratusan kepada 22 peratus pada 2023 dengan televisyen menguasai bahagian pasaran terbesar sebanyak 55 peratus,” katanya.

Mengenai prospek ADEX, AmInvestment Bank optimistik secara berhati-hati terhadap unjuran pertumbuhan bagi 2024 berikutan sentimen pengguna yang lemah dan ketidaktentuan ekonomi.

“Kami berpendapat bahawa ADEX akan berkembang antara satu peratus hingga lima peratus berikutan acara sukan utama seperti UEFA Euro 2024 dan Sukan Olimpik 2024.

“Walau bagaimanapun, kami percaya hak tontonan kandungan sukan yang mahal akan menjejaskan margin keuntungan syarikat media,” katanya.

Bank pelaburan itu menambah, pendapatan Media Prima dan Astro pada 2024 diramalkan sederhana kerana inisiatif baharu akan mengambil masa untuk memberikan impak.

Ia berkata, perkhidmatan pengiklanan inovatif Astro, yang dilancarkan pada Jun 2022, membantu meningkatkan tiga kali ganda pendapatan segmen itu pada tahun kewangan 2024, walaupun bahagiannya secara relatif masih lagi kecil.

Katanya, Media Prima pula memperkenalkan pelan perniagaan tiga tahun pada 2023, yang akan dipancu oleh tiga tonggak pertumbuhan iaitu melonjakkan kandungan, inventori premium dan meneroka aliran pendapatan baharu.

“Kami percaya bahawa strategi ini akan mengambil masa untuk membuahkan hasil kerana kandungan tempatan perlu menjadi berdaya saing seperti penerbitan antarabangsa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini