comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Media Prima catat untung bersih RM53.9 juta

KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad mencatatkan hasil RM997.9 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) RM53.9 juta untuk tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2022.

Kumpulan berjaya merekodkan keuntungan untuk tempoh dua tahun berturut-turut dengan peningkatan PAT sebanyak empat peratus berbanding tempoh sama berakhir 31 Disember 2021.

Kumpulan juga merekodkan hasil pengiklanan yang lebih baik, iaitu sebanyak RM748.9 juta bagi tempoh 12 bulan itu.

Perniagaan pengiklanan-luar-rumah Media Prima, Big Tree, kembali mencatatkan PAT sebanyak RM7.2 juta dalam tempoh berkenaan berbanding kerugian RM36.2 juta pada tempoh terdahulu (berakhir 31 Disember 2021).

PAT Rev Media Group, anak syarikat digital Media Prima, meningkat daripada RM12 juta tahun sebelumnya kepada RM17.5 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2022.

Peningkatan sebanyak 46 peratus ini didorong oleh pertumbuhan tujuh peratus dalam hasil pengiklanan anak syarikat berkenaan.

Dalam segmen penyiaran, yang diwakili oleh Rangkaian Televisyen Media Prima dan Media Prima Audio, kumpulan mencatatkan pendapatan 12 bulan sebanyak RM471.6 juta dan PAT sebanyak RM68 juta.

Rangkaian Televisyen Media Prima kekal sebagai rangkaian yang paling ditonton di Malaysia, dengan TV3 dan 8TV meningkatkan capaian kepada lebih 32 peratus dan 42 peratus daripada penonton Melayu dan Cina dalam tempoh 12 bulan.

Secara keseluruhannya, Rangkaian Televisyen Media Prima menjangkau lebih 36 peratus penonton penyiaran Malaysia.Hasil jualan kandungan pula meningkat sebanyak 25 peratus kepada RM54.1 juta dalam tempoh 12 bulan.

Melangkah ke hadapan, segmen pengeluaran dan pengedaran kandungan Media Prima, Primeworks Studios, akan meningkatkan pelaburan dalam penghasilan kandungan bagi televisyen dan platform penstriman.

Kumpulan juga mengumumkan keputusan bagi tiga bulan berakhir 31 Disember 2022, dengan mencatatkan hasil sebanyak RM252.7 juta dan PAT sebanyak RM26.9 juta.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata prestasi Media Prima, berdasarkan keputusan 12 bulan berakhir 31 Disember 2021, menunjukkan kebolehan kumpulan untuk berdaya saing dalam persekitaran operasi yang mencabar.

“Ini termasuk kejayaan mencatatkan keuntungan 12 bulan untuk dua tahun berturut-turut sambil mengekalkan kedudukan pendahulu di kesemua segmen perniagaan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada tempoh yang sama, beliau berkata kumpulan terus mengesahkan komitmennya terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang baik apabila menerima pengiktirafan daripada Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) dan The Edge ESG Awards.

“Namun begitu, kami boleh melakukan lebih banyak lagi sebagai syarikat media bersepadu terkemuka bagi membuka potensi yang lebih besar daripada jenama dan perniagaan kami.

Melangkah ke hadapan, kami akan menumpukan kepada pelan rancangan perniagaan tiga tahun untuk membawa Media Prima ke tahap yang lebih tinggi, dan akan memantau dengan teliti kecekapan operasi bagi memastikan nilai pemegang saham untuk jangka panjang,” katanya.

Media Prima memulakan pelan perniagaan strategik tiga tahun yang memberi fokus kepada tiga tonggak strategik iaitu rangsangan kandungan, inventori premium dan aliran hasil baharu dengan menggunakan sepenuhnya keupayaan Kumpulan dalam teknologi, data dan bakat.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, berkata keputusan kewangan kumpulan menunjukkan bahawa 2022 adalah tahun yang lebih mencabar di mana syarikat-syarikat media bertindak dengan cepat menghadapi lanskap persaingan yang berubah dengan pantas.

“Kami percaya mampu untuk meningkatkan pertumbuhan hasil dan kecekapan operasi secara keseluruhan. Kumpulan juga membuat keputusan untuk menukar tahun kewangan kumpulan dari berakhir pada 31 Disember kepada 30 Jun bagi mengoptimumkan lagi perancangan audit dan pengagihan sumber.

“Kami juga sudah menilai semula kekuatan dan berbesar hati untuk berkongsi inisiatif untuk menyusun semula kumpulan di bawah rancangan perniagaan tiga tahun yang baharu. Pelan perniagaan strategik tiga tahun Media Prima ini bertujuan untuk memacu kemampanan perniagaan dengan memanfaatkan kelebihan daya saing kami sebagai syarikat media bersepadu.

“Kami percaya inisiatif ini akan meningkatkan lagi kelebihan daya saing kumpulan, meraih pelanggan dan projek bernilai tinggi, serta mencapai kepelbagaian pendapatan,” katanya. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini