comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Media Prima catat untung RM27.9 juta bagi tempoh 9 bulan

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd merekodkan hasil sebanyak RM650.9 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2024 meskipun berdepan dengan rasionalisasi perbelanjaan oleh beberapa pengiklan utama ekoran persekitaran ekonomi yang mencabar dan kesan ketidakpastian geopolitik.

Kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia itu mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM27.9 juta bagi tempoh sembilan bulan berkenaan hasil daripada peningkatan kecekapan operasi, pengoptimuman kos dan peningkatan pendapatan operasi lain.

Bagi suku ketiga tahun kewangan 2024 pula, Media Prima mencatatkan hasil sebanyak RM213.2 juta dan PAT sebanyak RM1.9 juta.

Media Prima terus mengekalkan dominasinya di dalam segmen penyiaran, terutamanya dengan Hot FM yang telah mengekalkan kedudukannya sebagai Jenama Radio Komersial Berbahasa Melayu terunggul negara dengan lebih daripada 3.8 juta pendengar.

Peningkatan jumlah pendengar Molek FM di Pahang, Terengganu, dan Kelantan pula turut mengukuhkan capaian pendengar Media Prima, justeru membolehkan kumpulan untuk berada dalam posisi yang kukuh untuk pertumbuhan berterusan.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata industri media sedang berhadapan dengan ketidakpastian ekonomi dan pergolakan politik di peringkat global.

Beliau berkata, walaupun cabaran ini dijangka berterusan dalam tempoh masa terdekat, kumpulan komited untuk melaksanakan strategi bagi menjana pertumbuhan untuk masa hadapan.

“Pelan perniagaan tiga tahun kami memberi hala tuju yang komprehensif untuk terus menjana nilai yang tiada tandingan bagi penonton dan pengiklan berpandukan pada kekuatan jenama.

“Kami akan memanfaatkan kekuatan jenama kami dengan pengurusan kos yang optimum untuk memastikan kejayaan kumpulan sejajar dengan jangkaan pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.-Foto fail NSTP

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, berkata prestasi yang dicapai kumpulan di kala ketidaktentuan global ini membuktikan keupayaan untuk terus berdaya saing.

Katanya, kebolehan ini adalah hasil daripada usaha berterusan Media Prima untuk meningkatkan kecekapan prosedur dalaman, mengukuhkan lagi kedudukan platform-platform media dengan menyediakan inventori kandungan premium dan menjana peluang pendapatan baharu.

“Kumpulan menyedari kepentingan landskap pengiklanan tempatan dan akan terus menekankan kepentingan pengurusan operasi dan kos.Sementara itu, kumpulan akan terus menawarkan penyelesaian inovatif dan kandungan yang menarik di pelbagai platform media untuk memenuhi keperluan pengiklan dengan berkesan,” katanya.

Selain daripada pencapaian komersial, Media Prima tetap komited terhadap inisiatif alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) dan secara aktif berusaha untuk memupuk perubahan positif dalam komuniti.

Kumpulan telah menyalurkan pelbagai bantuan hasil daripada sumbangan masyarakat. Ini termasuk membiayai kos perubatan, penghantaran bantuan bencana dan pemberian bantuan sara hidup bagi mereka yang memerlukan.

Inisiatif komuniti ini telah memberi impak yang besar kepada kehidupan ratusan penerima bantuan.

Di peringkat antarabangsa pula, Media Prima meneruskan kerjasama dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mangsa kekejaman konflik di Palestin.

Tambahan daripada itu, Media Prima juga memperluas usaha dalam pengukuran pelepasan karbon dan sedang membangunkan strategi pengurangan emisi yang komprehensif sebagai tanda komitmen terhadap alam sekitar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini