comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Media Prima catat untung selepas cukai RM26 juta

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (Media Prima), kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia merekodkan pendapatan sebanyak RM437.7 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM26 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2023.

Dalam tempoh tiga bulan berakhir 31 Disember 2023, pendapatan kumpulan meningkat sebanyak lima peratus kepada RM223.8 juta berbanding suku sebelumnya, didorong oleh peningkatan dalam hasil pengiklanan.

Keputusan positif itu adalah hasil daripada penumpuan strategik kumpulan pada pelan perniagaan tiga tahun yang didukung oleh tiga tonggak pertumbuhan iaitu penambah baik kandungan, meningkatkan kualiti inventori dan meneroka peluang pendapatan baharu.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata kemampuan kumpulan dalam menghadapi cabaran industri adalah hasil daripada komitmen berterusan kumpulan untuk terus memberikan nilai kepada pemegang saham.

“Kami akan terus mengukuhkan perniagaan dengan memanfaatkan populariti platform media dan jenama kumpulan dalam kalangan pengiklan dan audien.

“Walaupun berdepan cabaran, kami optimis mengenai masa depan. Dengan momentum yang kukuh dan fokus yang jelas, kami yakin dengan kebolehan Media Prima untuk terus berjaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Media Prima telah melaksanakan beberapa inisiatif utama di bawah pelan strategiknya berlandaskan kepada momentum itu.

Ia termasuk pelancaran aset papan iklan luar digital (Digital Tower Series) di Jalan Cheras oleh Big Tree, dan penukaran aset papan iklan luar statik sedia ada kepada digital di Persiaran Surian.

Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid – FOTO: NSTP

Ia selaras dengan keupayaan Big Tree untuk mencatatkan peningkatan hasil sebanyak tujuh peratus pada suku semasa berbanding suku sebelumnya yang terdekat bagi segmen papan iklan luar.

Bagi sektor digital pula, Media Prima mencatatkan peningkatan ketara dalam pengikut digital.Kumpulan Media REV (REV) melepasi lebih 100 juta jumlah pengikut setakat Disember 2023, mengukuhkan kedudukan REV sebagai penerbit digital terkemuka negara.

Inisiatif yang telah diambil REV selama ini mampu untuk meningkatkan lagi keupayaan dan jangkauan pengiklanan REV, memacu pertumbuhan hasil sebanyak 10 peratus pada suku semasa berbanding suku sebelumnya yang terdekat.

Selain daripada fokus perniagaan teras, Media Prima juga meneruskan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial melalui pelbagai inisiatif.

Media Prima menyalurkan lebih RM1.9 juta hasil sumbangan orang ramai kepada Tabung Kemanusiaan Palestin, untuk membantu misi kemanusiaan di Palestin dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Mercy Malaysia, Malaysian Relief Agency dan Humanitarian Care Malaysia.

Sumbangan itu antara lain memperuntukkan perbelanjaan bagi makanan dan air bersih, bekalan perubatan penting serta tempat tinggal kepada ribuan yang terjejas akibat konflik di Palestin.

Media Prima ingin mengucapkan penghargaan kepada penderma yang bermurah hati menyumbang kepada Tabung Kemanusiaan Palestin.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali – FOTO: NSTP

“Kami berbangga dengan prestasi dan kemajuan yang telah kami capai ke arah merealisasikan objektif pelan perniagaan kami.

“Usaha berterusan kami dalam penambah baik kandungan, meningkatkan kualiti inventori dan meneroka peluang pendapatan baharu telah menunjukkan pencapaian yang menggalakkan, terutamanya dalam menjana pertumbuhan serta nilai untuk pemegang saham kami.

“Melangkah ke hadapan, Media Prima kekal komited untuk menyampaikan kandungan berkualiti tinggi dan merintis penyelesaian inovatif untuk kekal di hadapan dalam landskap media yang sentiasa berkembang,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini