comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Mesyuarat lembaga pengarah DNB pada Selasa, kemudian cadangan hala tuju rangkaian kedua – Gobind

(Tengah) Gobind menyaksikan majlis menandatangani MoU antara DNB dan Ericsson dengan rakan kongsi perusahaan bagi memajukan 5G untuk perusahaan hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Lembaga pengarah Digital Nasional Bhd (DNB) akan bermesyuarat pada Selasa depan untuk meneliti laporan penilaian wajar perjanjian penjualan saham (SSA) rangkaian 5G.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata selepas itu, mereka diberi tempoh selama 20 hari untuk membentangkan cadangan mengenai rangkaian kedua 5G.

“Dalam perjanjian (SSA) tersebut disebut beberapa perkara perlu dilaksanakan. Satu daripadanya kita perlu mengadakan satu proses penilaian wajar. Selepas penilaian wajar selesai, ia akan dikemukan kepada pengarah-pengarah syarikat yang perlu dilantik dan pengarah-pengarah syarikat telahpun dilantik minggu lalu.

“Saya dimaklumkan mesyuarat lembaga pengarah tersebut akan diadakan minggu depan bagi tujuan untuk mereka meneliti laporan penilaian wajar. Selepas itu, membuat cadangan berkenaan langkah kita bergerak ke hadapan dengan matlamat kita menubuhkan rangkaian kedua yang dinyatakan sebelum ini,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara DNB dan Ericsson dengan rakan kongsi perusahaan bagi memajukan 5G untuk perusahaan hari ini.

MoU pertama, antara DNB dan Ericsson dengan Intel, akan menyaksikan pembangunan penyelesaian Perusahaan 5G di Malaysia. Selain itu, MoU dengan eMooVit, syarikat pemula tempatan untuk penyelesaian penggunaan kenderaan dan teknologi pandu sendiri.

MoU dengan Scania pula ialah integrasi teknologi, seperti sensor Teknologi Operasi, sistem pengurusan armada trak, dan aplikasi analitik.

Manakala perjanjian dengan SKF mengenai kegunaan 5G untuk melengkapkan gentian dan WiFi bagi mengupayakan digitalisasi tanpa wayar dalam bahagian pembuatan melalui kes-kes kegunaan seperti analisis pancuran data, pemantauan sensor video, dan pengumpulan data.

Dalam pada itu, DNB bulan lalu melantik ahli lembaga pengarah baharu, yang terdiri daripada pemimpin kanan industri telekomunikasi dan teknologi, berkuat kuasa 24 April 2024.

Ahli lembaga pengarah baharu dan pengganti mereka akan menyertai dua lagi ahli penyandang iaitu Datuk Johan Mahmood Merican dan Ma Sivanesan Marimuthu.

Lima ahli lembaga pengarah baharu itu ialah Datuk Kamal Khalid daripada CelcomDigi (Infranation Sdn Bhd), Uthaya Kumar K Vivekananda daripada Maxis Broadband Sdn Bhd, Chang Yit Fei daripada U Mobile Sdn Bhd, Nik Azli Abu Zahar daripada Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Datuk Seri Yeoh Seok Hong daripada YTL Power International Bhd.

Sementara itu, tiga pengarah pengganti ialah Tan Kok Leong daripada U Mobile, Mohamed Tajul Mohamed Sultan daripada TM serta Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek daripada YTL Power International.

Jelas Gobind, pendirian kerajaan adalah jelas bahawa rangkaian 5G kedua akan diperkenalkan selepas beberapa prasyarat SSA antara pengendali rangkaian mudah alih dan DNB dipenuhi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini