comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MIDF jangka inflasi naik sedikit pada tahun ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Inflasi Indeks Harga Pengeluar (IHPR) yang meningkat sebanyak 1.9 peratus tahun ke tahun pada April 2024 menunjukkan tekanan kos yang lebih tinggi untuk perniagaan tempatan, menurut MIDF Research.

Katanya walaupun perniagaan akan terjejas oleh turun naik harga komoditi global, tekanan kos akan menjadi lebih tinggi pada tahun ini berikutan kesan daripada perubahan dasar seperti rasionalisasi subsidi dan kenaikan harga bahan api.

“Sehubungan itu, kami menjangka inflasi pengguna akan naik sedikit kepada 2.7 peratus pada tahun ini (2023: 2.5 peratus), sebahagian besarnya berikutan perubahan dari segi penawaran,” menurut firma penyelidikan itu dalam satu laporan.

IHPR Malaysia pada April 2024 meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut dan kenaikan paling pesat sejak Disember 2022.

Mengikut sektor, katanya sektor pembuatan menyaksikan kenaikan kos yang lebih cepat kepada 0.8 peratus tahun ke tahun (Mac 2024: 0.6 peratus tahun ke tahun). Inflasi sektor perlombongan meningkat kepada 10.0 peratus (Mac 2024: 8.3 peratus tahun ke tahun), kenaikan paling mendadak dalam tempoh 22 bulan.

Bagaimanapun, inflasi harga untuk sektor pertanian susut kepada 5.4 peratus (Mac 2024: 5.5 peratus).

Kos untuk bekalan elektrik, gas dan air naik lebih cepat sebanyak 1.0 peratus, tertinggi dalam tempoh 10 bulan selepas kenaikan yang perlahan sebanyak 0.1 peratus tahun ke tahun pada dua bulan sebelumnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini