comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MIDF jangka tekanan kos rendah bagi pengeluar Malaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank menjangkakan tekanan kos adalah lebih rendah bagi pengeluar Malaysia, terutama susulan penurunan harga komoditi global serta gangguan rantaian bekalan global yang semakin berkurangan.

Ia menjelaskan pembukaan semula China serta bekalan tenaga kerja dan bahan yang lebih baik di peringkat global akan memberikan sokongan seterusnya.

Kenyataan penyelidikan MIDF ini adalah sebagai respons kepada Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang meningkat 3.5 peratus pada Disember 2022 berbanding peningkatan 3.2 peratus pada November 2022.

IHPR mengukur harga barangan di pintu kilang.

Walau bagaimanapun, kadar faedah lebih tinggi di ekonomi utama, harga tenaga yang meningkat dan ketegangan geopolitik yang berterusan akan terus menjadi risiko bagi inflasi global pada 2023, menurut MIDF.

Ia menjelaskan bahawa IHPR sebanyak 3.5 peratus pada Disember 2022 adalah tinggi sedikit berbanding dengan paras terendah dalam tempoh 21 bulan iaitu 3.2 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Berasaskan bulan ke bulan, inflasi input turun sebanyak 0.3 peratus.

Tekanan harga ke atas pengeluar menjadi sederhana setelah didorong terutama oleh penguncupan kos bahan mentah yang berterusan serta kos bahan perantaraan yang sederhana, tambahnya.

Inflasi bahan mentah kekal menguncup sejak Ogos 2022 manakala pertumbuhan kos bahan perantaraan menjadi sederhana kepada paras terendah dalam tempoh 19 bulan pada 7.2 peratus tahun ke tahun pada bulan terakhir 2022, menurutnya.

“Kami percaya penguncupan berterusan inflasi bahan mentah adalah disebabkan oleh pembetulan sederhana harga tenaga global manakala inflasi kos bahan perantaraan yang bertambah baik sebahagiannya disebabkan oleh tekanan rantaian bekalan global yang semakin reda,” jelas penyelidikan itu.

Bagi 2022, inflasi IHPR keseluruhan direkodkan pada 7.8 peratus, lebih rendah daripada 9.5 peratus pada 2021. – BERNAMA

Loading...
Terkini