comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MIDF Research kekal saranan ‘positif’ terhadap sektor pembinaan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: MIDF Research telah mengekalkan saranan ‘positif’ terhadap sektor pembinaan berdasarkan cabaran melibatkan kos yang boleh diurus dan pelancaran projek infrastruktur yang berpotensi dilaksanakan di Malaysia.

Ia berikutan perkembangan positif yang didorong oleh penganugerahan tender Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang fasa tiga (MRT3) menjelang akhir tahun ini, katanya.

Firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan hari ini berkata prospek juga kelihatan menggalakkan di Sarawak dengan aliran kerja positif dijangka berlak terutamanya disebabkan suntikan modal RM100 bilion menjelang tahun 2030.

“Kami juga mengharapkan supaya projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura dapat dimulakan semula, ia mungkin menjadi fokus utama kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum,” katanya.

MIDF Research juga berkata ia tidak terlalu bimbang mengenai tekanan harga bahan binaan yang menjadi risiko besar kepada sektor pembinaan.

Walaupun harga kekal dinaikkan, ia berkata industri itu selesa dengan aliran menurun yang telah berlaku sejak beberapa bulan lepas.

Purata harga bar keluli di negara ini merosot 1.6 peratus bulan ke bulan kepada RM3,663.54 satu tan pada Oktober 2022 manakala purata harga simen turun 0.5 peratus bulan ke bulan kepada RM20.81 bagi setiap beg 50 kilogram.

Purata harga bar keluli di Semenanjung susut 3.3 peratus bulan ke bulan kepada RM3,212.14 satu tan manakala Sabah dan Sarawak menyaksikan penurunan 0.82 peratus bulan ke bulan kepada RM3,899.24 satu tan dan harga simen turun 1.3 peratus kepada RM18.06/50, Sabah dan Sarawak pula turun sedikit sebanyak 0.18 peratus kepada RM22.19/50 kg, katanya.

Oleh itu, margin dijangka terus meningkat pada suku keempat 2022 dan suku seterusnya walaupun kesan itu mungkin disebabkan oleh kos buruh yang lebih tinggi disebabkan kekurangan pekerja asing kerana kontraktor membayar lebih untuk projek kritikal, kata MIDF Research.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan keadaan ini akan bertambah baik pada masa hadapan kerana pembinaan adalah antara sektor yang dibenarkan untuk pengambilan pekerja dari semua 15 negara sumber yang dibenarkan. – BERNAMA

Loading...
Terkini