comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MIFF 2023 catat lonjakan pempamer, jangka pertumbuhan jualan 10-15 peratus

 

Fadillah (tengah) pada majlis perasmian acara MIFF 2023 di Kuala Lumpur, hari ini

KUALA LUMPUR: Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2023 telah membuka tirai dengan memecahkan rekod sebanyak 671 peserta pameran dari 11 negara yang menunjukkan daya tarikannya dalam industri perdagangan perabot global.

Berlangsung dari 1-4 Mac, 2023, pameran itu mengenepikan situasi pandemik COVID-19 untuk kembali secara berskala penuh sebagai acara industri terbesar di Asia Tenggara dan platform eksport terbesar bagi perabot Malaysia.

Pengasas dan Pengerusi Datuk Dr Tan Chin Huat berkata MIFF 2023 menandakan tahun yang luar biasa kerana ruang pameran habis dijual sepenuhnya, sama ada baik di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Keluasan lantai pameran meliputi sejumlah 80,000 meter persegi, serta bilangan pempamer meningkat lebih 12 peratus dari sebelum ini pada MIFF 2019.

“Ini membuktikan bahawa orang industri sebenarnya tidak sabar untuk menjalankan perniagaan secara serius dan kembali berniaga.

“Pameran itu menyaksikan permintaan yang ketara daripada pempamer dan pembeli berkualiti tinggi yang berusaha untuk mengukuhkan rangkaian bekalan mereka terhadap gangguan yang banyak selepas pandemik,” katanya kepada Bernama di luar acara MIFF 2023 di sini hari ini.

Tan berkata MIFF 2023 dijangka mengalu-alukan 20,000 pembeli dari 130 negara dan rantau, termasuk Jepun, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Vietnam, Taiwan dan Hong Kong.

Pada 2019, pameran itu merekodkan jualan sebanyak US$1.01 bilion (US$1=RM4.4930) dan, semasa pandemik, MIFF hanya menjalankan pasaran secara digital.

Pada Julai 2022, selepas Malaysia membuka semula sempadannya, edisi khas yang dikecilkan telah diadakan dengan mencatat jualan kira-kira US$300-400 juta.

“Tahun ini MIFF adalah rahmat untuk pembeli global, ramai yang kembali ke Kuala Lumpur untuk kali kedua dalam tempoh lapan bulan,” kata Tan, sambil menambah bahawa beliau menjangkakan jualan meningkat di antara 10 dan 15 peratus dari edisi 2019.

Tan berkata tahun-tahun yang hilang akibat pandemik telah menunjukkan pentingnya MIFF dalam perdagangan perabot global sebagai rakan kongsi yang relevan dan mantap untuk pertumbuhan perniagaan.

“Ia menggalakkan peluang sebenar untuk MIFF dan industri perabot Malaysia bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan lain bagi membangunkan prospek baharu dan pasaran baharu.

“Walaupun terdapat beberapa penambahbaikan, rantaian bekalan global masih tidak menentu, manakala ekonomi global belum pulih sepenuhnya,” tambahnya.

Tan berkata selepas pandemik COVID-19, peruncit perabot sedang berusaha untuk menormalkan perniagaan dan mencari destinasi sumber alternatif mereka.

“Oleh itu, kami terus komited untuk menyampaikan standard yang tinggi dan menyediakan pelanggan kami pengalaman yang terbaik,” katanya, sambil menambah bahawa Amerika Syarikat mencatatkan bilangan peserta tertinggi yang didaftarkan.

MIFF dianjurkan oleh Informa Markets, iaitu penganjur pameran perdagangan perabot perniagaan-ke-perniagaan terbesar di Asia Tenggara.

Selain itu, pembukaan semula sempadan China akan membawa lebih 200 syarikat dari beberapa bandar dan penampilan sulung Furniture China @Malaysia Show di MIFF untuk edisi sulungnya di luar Shanghai.

Senarai syarikat Malaysia diterajui oleh pengeluar terbesar negara seperti Poh Huat, Ecomate, Favourite Design, SWS, Wegmans, Ivorie, Merryfair, Step Furniture, WA Furniture, Inception dan Lifestyle International.

Sempena pameran perdagangan itu, terdapat juga enam seminar industri yang diterajui oleh pakar tempatan dan antarabangsa yang akan membincangkan, antara lain, kesan alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta prospek industri selepas COVID-19.

BERNAMA

Loading...
Terkini