KUALA LUMPUR: Affin Islamic Bank Bhd (Affin Islamic) melihat Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 edisi ke-19 sebagai platform mantap untuk kedua-dua pemain antarabangsa dan tempatan untuk merebut peluang dalam industri halal secara keseluruhan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata sebagai salah satu institusi kewangan Malaysia, bank itu tampil untuk mempromosi dan menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatannya kepada semua perniagaan dalam industri halal khususnya melalui pameran perdagangan.
Artikel berkaitan: MATRADE optimis capai sasaran jualan RM2.5 bilion di MIHAS 2023
Sebagai contoh, bank mempunyai banyak produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada bakal pelanggan seperti Affin SMEmerge-i dan Affin BizDana-i.
“Produk-produk ini pada masa ini ditawarkan kepada syarikat pemula niaga dan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi dalam tempoh enam hingga 36 bulan untuk tujuan modal kerja.
“Produk itu ditawarkan dengan jaminan Credit Guarantee Corporation Bhd dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd untuk kemudahan pembiayaan,” katanya ketika ditemui Bernama di luar MIHAS 2023 di sini pada Rabu.
Syed Mashafuddin berkata Affin Islamic juga menyediakan produk pembiayaan mampan untuk perniagaan seperti Affin BizSolar-i untuk membantu PKS membeli dan memasang sistem solar fotovoltaik di hartanah perniagaan mereka dengan pembiayaan sehingga RM5 juta dan tempoh sehingga 10 tahun.
Selain itu, bagi Affin Solar Financing-i, bank itu menyediakan tempoh pembiayaan fleksibel sehingga 10 tahun antara RM20,000 hingga RM150,000 dengan pelbagai pilihan mod pembayaran.
Penyertaan dalam MIHAS telah membantu kumpulan perbankan berkenaan mengembangkan portfolio pelanggannya melangkaui sempadan kerana pameran itu mengumpulkan ramai penggiat antarabangsa, katanya.
Kumpulan itu dapat meneroka lebih banyak syarikat dalam pelbagai sektor industri halal.
Selain itu, bank itu mahu menunjukkan sokongan kepada pasaran halal global iaitu industri makanan halal, farmaseutikal, kosmetik, pelancongan dan logistik serta sektor kewangan Islam.
“Saya fikir ia bukan hanya mengenai Affin. Kami mahu dapat menyokong keseluruhan ekosistem dan benar-benar membantu negara memenuhi potensi yang disebutkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ucapan mereka pada majlis perasmian itu. Kami percaya bahawa ia akan direalisasikan daripada acara ini.
“Kami yakin sepenuhnya bahawa akan terdapat lebih banyak eksport perdagangan. Peningkatan dalam ekonomi halal akan berlaku bukan sahaja untuk syarikat besar tetapi juga segmen mikro dan PKS. Affin Islamic berada di sini untuk menyokong syarikat-syarikat ini,” katanya.
Beliau berkata kumpulan itu kini meneruskan pelan transformasi A25 untuk mencapai “Perbankan Bertanggungjawab dengan Impak”.
Kumpulan Affin menyasarkan untuk merealisasikan pelan transformasi A25 untuk tiga tahun akan datang (2023 hingga 2025) dengan memberi tumpuan kepada tiga tonggak, iaitu – Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan, Kepimpinan Digital dan Perbankan Bertanggungjawab dengan Impak.
Perjalanan ini bermula dengan menyediakan pembiayaan mampan sebagai salah satu strategi untuk semua perniagaan.
“Kami percaya bahawa ini adalah cara kami terus memainkan peranan penting dalam memacu kemampanan, menyokong kewangan beretika dan menangani kebimbangan global yang kritikal sambil menyediakan pelanggan kami pengalaman perbankan yang lancar,” katanya.