comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Misi khas perniagaan francais di Jakarta sasar potensi pelaburan RM30 juta

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan RM30 juta sempena Misi Khas Perniagaan Francais Malaysia di Jakarta, Indonesia, yang berlangsung selama empat hari bermula semalam.

Menurut KUSKOP dalam kenyataan hari ini, misi itu bertujuan mempromosikan jenama francais tempatan Malaysia dan seterusnya menembusi pasaran Indonesia yang mempunyai potensi pasaran yang besar dengan jumlah penduduk seramai 281 juta orang.

“Ia turut menyaksikan program padanan dan mesyuarat perniagaan antara syarikat Malaysia bersama pelabur dan usahawan tempatan Indonesia bagi kerjasama perniagaan.

“Usaha ini selaras dengan hasrat dan kerangka visi Malaysia MADANI di bawah tonggak nilai ‘kesejahteraan’ yang membawa makna keseimbangan kehidupan bagi memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera,” katanya.

Katanya Misi Khas Perniagaan Francais itu merupakan kerjasama kementerian bersama Pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Misi itu diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Noor Afifah Abdul Razak, disertai wakil daripada Persatuan Francais Malaysia dan 11 syarikat francais Malaysia yang mempamerkan produk dan perkhidmatan iaitu Marrybrown, Mokti’s, Tea Garden, D’Tandoor, HOME Maths Therapy, IrisPro, Little Caliphs, Muzart, Smart Reader Kids, UCMAS dan FatNinjas.

Delegasi turut berkesempatan mengadakan lawatan kerja bagi melihat secara lebih dekat beberapa syarikat francais Indonesia dan Malaysia yang beroperasi di sana.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini