comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MITI jamin semua dasar lindungi kepentingan domestik

Foto hiasan/ NSTP

KUALA LUMPUR: Kepentingan domestik sentiasa dilindungi, malah pelaburan langsung domestik (DDI) sentiasa mendominasi pelaburan yang diluluskan meskipun dasar liberalisasi dilaksanakan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kementeriannya akan memastikan kepentingan domestik sentiasa dilindungi dalam semua dasar yang diwujudkan termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Katanya, DDI sentiasa mendominasi pelaburan yang diluluskan dengan memperlihatkan dalam tempoh 2012 hingga 2021, DDI yang diluluskan adalah sebanyak RM1.3 trilion atau 64 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan.

“Dalam semua dasar, MITI akan sentiasa pastikan bahawa kepentingan domestik sentiasa dilindungi,” katanya dalam satu hantaran di media sosial bagi menjawab isu yang dibangkitkan mengenai kekhuatiran NIMP 2030 mungkin menyebabkan modal asing mendominasi pegangan ekuiti tempatan dengan mengambil contoh Tesla.

Mengenai Tesla, Tengku Zafrul menjelaskan, kemasukan pengeluar kereta elektrik (EV) terkemuka dunia itu ke negara ini adalah melalui program Inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV GLI) yang direka untuk menarik pembuat kereta eksklusif EV ke negara ini.

Beliau berkata, kehadiran Tesla akan dapat memupuk keyakinan pengeluar peralatan asal (OEM) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi teknologi EV.

“Ini tentu sekali akan memberi kesan limpahan positif ke atas ekonomi negara. Kita telah memerhatikan negara-negara seperti China, Hong Kong dan Norway, kemasukan Tesla telah mempercepatkan peralihan kepada EV.

“Apabila ini berlaku, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mendapat manfaat daripada penyertaan dalam ekosistem EV.

Dalam menjana kepentingan tempatan, kehadiran Tesla ke Malaysia bukan saja menjual kereta, banyak syarat-syarat yang dikenakan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, Tesla disyaratkan memasang sejumlah besar pengecas pantas arus terus (DC) yang sebahagiannya untuk kegunaan kereta jenama selain Tesla, menggaji serta melatih sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat Malaysia sebagai tenaga kerja syarikat selain bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 10 pusat pengajian tinggi atau Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi pemindahan pengetahuan.

Loading...
Terkini