comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MITI lawatan Timbalan Menteri MITI buka lembaran baharu tingkatkan produktiviti negara – MPC

FOTO: Ihsan Facebook MPC

KUALA LUMPUR: Lawatan rasmi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong ke Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) hari ini membuka lembaran baharu dalam usaha untuk melaksanakan inisiatif peningkatan produktiviti negara, menurut MPC.

Dalam kenyataan hari ini, katanya peranan MPC dalam merealisasikan transformasi industri melalui teknologi dan digitalisasi merupakan antara aspek yang diberikan perhatian dalam perbincangan pada kali ini.

Timbalan Ketua Pengarahnya Zahid Ismail berkata antara subsektor yang dikenal pasti dapat melonjakkan produktiviti negara adalah ekonomi digital, teknologi hijau, industri solar dan kenderaan elektrik yang memenuhi piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

“Inisiatif ESG sememangnya mempunyai potensi besar dalam memacu produktiviti negara.Ia tidak hanya dapat membantu mengurangkan kos operasi, malah dapat meningkatkan nilai tambah serta meningkatkan produktiviti dan kelestarian ekonomi untuk terus relevan di peringkat global,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pelbagai inisiatif turut dikongsikan oleh MPC dalam meningkatkan produktiviti negara melalui lima pemacu produktiviti utama yang diperincikan di peringkat nasional, sektor dan enterpris iaitu bakat, teknologi, persekitaran perniagaan, struktur industri dan minda produktif.

MPC komited untuk membimbing organisasi ke arah pendigitalan dan inovasi melalui MyReskill IOT dan Industry4WRD yang diterajui bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi merealisasikan agenda transformasi industri dengan menjadikan teknologi dan digitalisasi sebagai pemangkin untuk memacu produktiviti negara. – BERNAMA

Loading...
Terkini