comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MITI perkenal insentif khas tubuh pusat data AI di Malaysia

FOTO: Tengku Zafrul/ X

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memperkenalkan insentif khas bagi penubuhan pusat data teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abd Aziz, berkata pusat data AI membawa limpahan ekonomi yang sangat jelas dan memberangsangkan kepada negara.

Beliau berkata, pelaburan dalam infrastruktur teknologi termaju dan pusat data AI juga berupaya menyokong komitmen kerajaan dalam mempercepatkan agenda transformasi digital negara merangkumi setiap aspek, di samping melancarkan lagi usaha peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

Katanya, Malaysia telah meluluskan pelaburan di dalam pusat data dan perkhidmatan awan berjumlah RM114.7 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2023.

Katanya, ini sekali gus memberikan 2,325 peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi dalam bidang kepakaran khusus seperti saintis data, penganalisis data, jurutera data, penganalisis keselamatan siber dan jurutera rangkaian.

“Sehubungan itu, Majlis Pelaburan Negara telah bersetuju supaya MITI melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggubal sebuah kerangka insentif.

“Ini termasuk melalui mekanisme penggunaan peralatan cekap tenaga dan air, serta penyediaan tenaga boleh baharu yang mencukupi bagi memudahcara pelaburan pusat data AI di Malaysia.

“MITI akan memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi pusat data AI,” katanya dalam satu hantaran di aplikasi X rasmi milik beliau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini