comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Momentum positif ekonomi dijangka berterusan – Ahli Ekonomi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara dijangka terus menikmati momentum positif dalam tempoh suku tahunan akan datang pada tahun ini, kata penganalisis ekonomi.

Pada suku pertama 2024, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 4.2 peratus pada suku pertama 2024, lebih pantas daripada jangkaan awal pasaran iaitu 3.9 peratus.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata berdasarkan prestasi baik pada suku pertama itu, prospek pada tempoh akan datang juga dijangka akan terus menyokong ekonomi negara.

Beliau berkata, ini terutamanya dari segi jangkaan peningkatan eksport berkaitan sektor teknologi dan komoditi serta peningkatan kegiatan pelancongan.

Disamping itu, perlaksanaan projek infrarstruktur seperti Sistem Transit Rapid (RTS), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Pan Borneo dan inisiatif MyDIGITAL akan merancakkan sektor berkaitan pembinaan.

Ia katanya akan memberi kesan limpahan kepada sektor-sektor lain seperti pembuatan dan perkhidmatan.

“Selain itu, suasana pasaran buruh yang telah dianggap mencapai guna tenaga penuh juga mampu untuk terus merangsang perbelanjaan pengguna.

“Namun, risiko inflasi masih lagi ditahap yang tinggi dipengaruhi oleh perubahan dasar seperti semakan semula subsidi bahan api, kenaikan kos bahan mentah akibat daripada kelembapan ringgit serta risiko kenaikan harga komoditi global dan konflik geopolitik.

“Justeru, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan mengekal pendirian yang terus menyokong pertumbuhan dan pada masa yang sama memastikan risiko inflasi terkawal,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berkata, perubahan positif ekonomi suku dikaji itu adalah berita baik untuk negara dan meletakkannya dalam landasan yang terbaik untuk terus berkembang.

Beliau berkata, ia akan dibantu oleh ekonomi domestik yang terus menjadi teraju utama serta eksport barangan perkilangan bukan hanya elektrik dan elektronik (E&E).

Industri pelancongan juga katanya semakin meningkat dengan jumlah pelancong berada di atas anggaran awal dan lebih baik pada 32.5 peratus pada tiga bulan pertama ini berbanding tempoh yang sama 2023.

Bagaimanapun katanya, prestasi KDNk sebenar tetap dibayangi oleh kenaikan kadar inflasi yang disebabkan oleh faktor luaran dan dalaman.

“Faktor luar seperti penularan krisis geopolitik, harga komoditi yang terkesan oleh perubahan cuaca dan perubahan dolar Amerika Syarikat (AS) yang memberi kesan kepada barangan yang diimport.

“Faktor dalaman yang mempengaruhi inflasi pula adalah pelaksanaan subsidi bersasar bahan api yang memberikan kesan besar kepada keseluruhan logistik dan pengangkutan negara yang pasti meningkatkan kos.

“Kenaikan tarif air dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas penggunaan elektrik telah pun memberi kesan kepada harga pengguna, namun kesannya masih sederhana,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini