comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Moody’s kekalkan penarafan A3 malaysia, kekalkan prospek stabil 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Moody’s Investors Service hari ini mengekalkan penarafan penerbit jangka panjang mata wang tempatan dan asing serta hutang tidak bercagar kanan mata wang tempatan kerajaan Malaysia pada A3 dengan prospek stabil.

Dalam kenyataan hari ini, agensi penarafan itu berkata pengekalan penarafan itu mencerminkan jangkaan Moody’s bahawa kepelbagaian dan daya saing ekonomi Malaysia serta akses kerajaan kepada sumber pembiayaan domestik yang kukuh akan berterusan berikutan kekuatan kredit, membantu mengurangkan risiko fiskal yang meningkat akibat pandemik COVID-19, termasuk beban hutang yang meningkat dan kemampuan hutang yang rendah.

Menurut Moody’s, pihaknya turut menjangka institusi penggubal dasar ekonomi utama di negara ini akan mengekalkan kredibiliti dan kebebasan mereka walaupun cakap-cakap politik meningkat yang telah membawa kepada empat perubahan dalam kerajaan sejak 2018, walaupun tekanan sosial boleh menjejaskan keazaman penggubal dasar untuk melaksanakan pembaharuan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

Katanya prospek stabil mencerminkan pandangan Moody’s bahawa risiko terhadap profil kredit kekal konsisten dengan tahap penarafan A3 berdasarkan andaian semasa.

“Dari aspek positif, prestasi dan daya tahan ekonomi Malaysia mempunyai potensi untuk diperkukuh dengan kemasukan pelaburan asing dalam industri bernilai tinggi apabila syarikat menyusun semula rantaian bekalan serantau mereka, menyokong tahap pertumbuhan yang lebih kukuh daripada yang kita jangkakan pada masa ini,” katanya.

Agensi penarafan itu pada masa yang sama mengekalkan penarafan mata wang asing ke atas hutang tidak bercagar kanan disokong yang diterbitkan oleh Malaysia Sovereign Sukuk Bhd, Malaysia Sukuk Global Bhd dan Malaysia Wakala Sukuk Bhd, syarikat tujuan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia, pada A3.

Moody’s berpandangan kewajipan pembayaran adalah kewajipan langsung kerajaan.

Agensi penarafan itu juga berkata siling negara mata wang tempatan dan asing Malaysia, masing-masing kekal tidak berubah pada Aa1 dan Aa2.

Katanya jurang lima takuk antara siling mata wang tempatan dan penarafan berdaulat disokong oleh institusi penggubal dasar yang kekal telus dan berkesan walaupun terdapat ketidaktentuan politik baru-baru ini, serta kedudukan luar negara yang kukuh.

“Jurang satu takuk antara siling mata wang asing dan siling mata wang tempatan mengambil kira langkah Malaysia sebelum ini dalam mengenakan kawalan modal, walaupun saiz simpanan domestik dan dasar yang berkesan mengurangkan risiko aliran modal yang tidak menentu serta potensi pemindahan dan sekatan kebolehtukaran dalam senario kebarangkalian yang amat rendah untuk kerajaan melihat kepada keperluan untuk mengenakannya.

“Siling ini biasanya menjadi had terhadap penarafan yang boleh diberikan kepada kewajipan entiti lain yang berada di negara ini,” katanya.

Loading...
Terkini