comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MPOB, delegasi Quanzhou bincang bekalan minyak sawit bagi musim pengeluaran makanan

KUALA LUMPUR: Jalinan kerjasama kukuh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan China akan menggalakkan pembangunan rantaian bekalan untuk industri sawit Malaysia dan industri makanan Fujian serta perolehan minyak sawit.

Menurut kenyataan MPOB pada Jumaat, delegasi dari Quanzhou, China diketuai Timbalan Datuk Bandar Quanzhou, Wang Zhihong bersama enam pegawai kerajaan dan sembilan pihak pengeluar makanan utama China di wilayah Fujian mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir di pejabatnya semalam.

Perbincangan itu merangkumi perkara untuk mendapatkan minyak sawit bagi memenuhi permintaan China ketika kemuncak musim pengeluaran makanan pada suku ketiga tahun ini, jelasnya.

Kenyataan itu menjelaskan, semasa menyampaikan ucapan alu-aluan kepada delegasi itu, Ahmad Parveez berkata MPOB telah membangunkan formulasi minyak sawit untuk aplikasi makanan terutama inovasi menggunakan minyak sawit merah, lemak sawit terstruktur dan tokotrienol sawit sebagai bahan untuk makanan ringan.

“Inovasi dan formulasi MPOB dapat menyokong pertumbuhan industri makanan ringan China yang semakin berkembang dan memerlukan minyak sawit berkualiti tinggi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Zhihong pula mengalu-alukan pengeluar dan peniaga minyak sawit Malaysia untuk memperluas rantaian perniagaan dan hubungan perdagangan dengan Bandar Quanzhou.

“Dengan mewujudkan persekitaran perniagaan bertaraf dunia dan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan demi masa depan yang gemilang, kami komited untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk pihak industri,” kata Zhihong.

Mesyuarat delegasi itu turut dihadiri oleh wakil MPOB serta ahli industri Malaysia dan China yang berminat dalam pembuatan makanan dan perdagangan minyak sawit, tambah kenyataan itu.

Semasa mesyuarat delegasi, Dewan Perniagaan bagi Pengeluar Makanan Fujian dan Erapoly Global Sdn Bhd bertukar surat hasrat bagi perdagangan minyak sawit disaksikan oleh Ahmad Parveez dan Zhihong.

Menurut kenyataan itu, Quanzhou ialah antara pusat pengeluaran terbesar untuk makanan ringan, kuih-muih dan roti dan menjadi destinasi utama eksport minyak sawit di China.

Sementara itu, Panpan Foods dan Dali Foods, yang berpangkalan di Quanzhou disenaraikan sebagai 500 Pengeluar Pertanian Teratas 2021 di China, tambahnya.

Menurut MPOB, minyak sawit adalah bahan terpenting dalam industri makanan ringan di China dengan kilang makanan di Quanzhou memerlukan minyak sawit dengan kualiti yang tinggi dan memiliki fungsi untuk memenuhi pertumbuhan pasaran makanan ringan di negara itu.

Loading...
Terkini