comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MSM catat kerugian bersih RM72.8 juta berikutan kos input yang tinggi

MSM masih rugi ekoran kos input yang lebih tinggi. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: MSM Malaysia Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM72.80 juta menjelang suku ketiga berakhir 30 Sept 2022 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM96.86 juta yang direkodkan semasa suku yang sama pada 2021 berikutan kos input yang lebih tinggi.

Perolehan bagaimanapun meningkat 21.8 peratus atau RM119.48 juta kepada RM668.13 juta daripada RM548.64 juta sebelumnya disebabkan peningkatan harga jualan purata keseluruhan kumpulan, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pengeluar gula itu berkata kos input yang tinggi merangkumi gula mentah, pengangkutan, gas asli dan kelemahan ringgit.

Kos input lain seperti bahan pembungkusan, upah serta logistik juga naik dengan ketara.

Bagaimanapun, pasaran domestik dan eksport menyaksikan permintaan yang lebih kukuh, yang menyediakan peluang pertumbuhan serta pemulihan penggunaan produk termasuk gula merentasi segmen pengguna dan industri.

“Kumpulan kekal fokus dalam memenuhi permintaan dengan menambah baik operasi syarikat terutamanya dengan memberi tumpuan kepada MSM Johor bagi meraih kos penapisan yang agak rendah dengan kecekapan yang lebih tinggi.

Katanya lagi, syarikat itu akan memastikan bekalan gula yang konsisten disediakan untuk pasaran.

“Kami akan sentiasa berhubung dengan kerajaan bagi mendapatkan semua sokongan ekonomi dalam memastikan keselamatan makanan walaupun menghadapi cabaran,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini