comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MSM Malaysia buat pemulihan besar, kembali catat untung

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: MSM Malaysia Holdings Bhd membuat pemulihan yang besar apabila mencatat keuntungan bersih kepada RM41.71 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2024 (S1 2024) berbanding kerugian bersih RM35.88 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Hasil turut meningkat 54 peratus kepada RM906.61 juta daripada RM588.39 juta sebelumnya.

Pengeluar ‘Gula Prai’ iaitu jenama gula halus terkemuka negara berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa keuntungan yang lebih tinggi adalah daripada margin yang lebih baik walaupun kos pengeluaran yang lebih tinggi telah meningkat sebanyak 15 peratus didorong oleh harga kontrak hadapan NY11 yang lebih tinggi, kos pengangkutan dan pertukaran asing.

MSM juga menyatakan bahawa pertumbuhan hasil yang lebih tinggi adalah disebabkan oleh volum jualan keseluruhan yang lebih tinggi, purata harga jualan yang meningkat dan insentif yang diterima untuk pek gula tertentu yang dijual di pasaran domestik.

Syarikat itu turut berkata bahawa ia mencapai faktor penggunaan (UF) yang lebih tinggi sebanyak 52 peratus pada S1 2024, berbanding 42 peratus pada S1 2023 dan terdapat juga peningkatan dalam hasil kecekapan, mencapai 96.3 peratus pada suku dalam tinjauan berbanding 94.2 peratus pada suku yang sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syed Feizal Syed Mohammad berkata MSM telah mencatatkan keuntungan untuk dua suku berturut-turut, walaupun industri gula terus bergelut dengan kos input tinggi yang berpanjangan, dengan kadar pengangkutan terus tidak menentu, diburukkan lagi oleh krisis Laut Merah sejak S1 2024.

“Kos gas asli juga kekal tinggi, dan import gula mentah terjejas oleh ringgit yang lemah. Bagaimanapun, harga gula mentah berada pada paras rendah sedikit disebabkan oleh jangkaan pengeluaran yang lebih baik dari Brazil.

“Namun begitu, kos gula mentah kekal lebih tinggi daripada paras yang pernah diuruskan di bawah 15 sen US sepaun. Oleh itu, terdapat keperluan untuk memastikan industri gula kekal mampan bagi menjamin penggunaan dalam negara,” katanya.

Walaupun berdepan dengan cabaran itu, beliau berkata kumpulan tersebut terus menumpukan kepada perluasan bahagian pasaran domestiknya dengan meluaskan saluran pasaran, meningkatkan jangkauan industri dan menambah titik capaian pengguna, memanfaatkan permintaan yang stabil.

Syed Feizal berkata MSM juga sedang giat mengembangkan pasaran eksportnya daripada 17 negara pada masa ini kepada 25 negara di luar Asia Pasifik dan Asia Selatan ke Afrika, Eropah dan Amerika Utara.

“Pertumbuhan dalam segmen eksport sejajar dengan inisiatif strategik kami untuk mengoptimumkan kapasiti ruang utama kilang penapisan MSM Johor dan meningkatkan jumlah pengeluaran keseluruhan kumpulan. Hasil eksport kami melebihi RM630 juta tahun lepas dengan pertumbuhan tahun ke tahun yang stabil,” tambahnya.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini