comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Musim perayaan, permintaan hartanah kediaman susut pada suku pertama

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Permintaan dan bekalan hartanah kediaman dilihat merosot sedikit pada suku pertama 2024 dengan Indeks Permintaan Jualan susut 1.1 peratus dari suku ke suku dan penurunan 4.4 peratus dalam Indeks Bekalan Jualan, menurut laporan terkini PropertyGuru Malaysia.

Kemerosotan permintaan dan bekalan hartanah kediaman pada suku dikaji itu berikutan faktor bermusim seperti perayaan Tahun Baru Cina, yang mana penurunan sama dapat dilihat pada suku pertama 2023 (-5.5 peratus) dan suku pertama 2022 (-2.3 peratus).

Laporan Pasaran Hartanah (MPMR) PropertyGuru Malaysia bagi suku pertama 2024 itu menunjukkan pasaran kediaman stabil di tengah-tengah penunjuk utama yang menyederhana seperti permintaan, bilangan penyenaraian dan permintaan harga.

Dari segi harga perumahan, Indeks Harga Jualan mencatatkan peningkatan suku ke suku yang menggalakkan sebanyak 1.4 peratus.

Pengurus Negara Malaysia, PropertyGuru dan iProperty, Kenneth Soh, berkata laporan dikeluarkan pihaknya itu menunjukkan penurunan dalam permintaan berikutan trend musim perayaan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, pembangunan infrastruktur memberi pengaruh positif kepada dinamik pasaran hartanah dalam subpasaran tertentu.

“Contohnya, hartanah kediaman di Johor mencatatkan peningkatan dua peratus dalam Indeks Permintaan Jualan. Peningkatan pertanyaan hartanah adalah berikutan projek RTS Link akan datang, yang berfungsi sebagai pemangkin dalam meningkatkan permintaan hartanah di kawasan sekitarnya.

“Di masa hadapan, pembangunan seperti ini akan terus memainkan peranan penting dalam membentuk permintaan hartanah dengan mempengaruhi peluang pembangunan dan pekerjaan di kawasan sekeliling.

“Justeru, ia penting untuk mempertimbangkan pengaruh-pengaruh ini ketika menganalisis trend pasaran dan membuat keputusan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini