comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MyEG beli 14.4 peratus kepentingan HeiTech berharga RM31.25 juta

KUALA LUMPUR: MyEG Services Bhd membeli 14.4 peratus kepentingan dalam HeiTech Padu Bhd pada harga RM31.25 juta sebagai sebahagian daripada pelaburan strategik.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, penyedia perkhidmatan elektronik itu berkata, ia membeli 14.57 juta saham berkenaan melalui anak syarikatnya, MyEG Capital Sdn Bhd menerusi pasaran terbuka dan transaksi perniagaan langsung.

Syarikat itu berkata, ia membeli 5.16 juta saham HeiTech daripada pasaran terbuka pada 7 Mac lalu secara tunai dengan harga RM11 juta atau RM2.134 sen sesaham.

Katanya, ia juga membeli 9.42 juta saham lagi menerusi transaksi perniagaan langsung pada harga RM20.25 juta atau secara purata RM2.15 sesaham.

Mengenai rasional pengambilalihan ini, MyEG berkata pelaburan terbabit akan membolehkan syarikat terbabit meneroka potensi kerjasama dengan HeiTech bagi membina sinergi dengan memanfaatkan kepakaran masing-masing serta pengalaman kedua-dua pihak sebagai penyedia perkhidmatan elektronik kerajaan yang terkemuka.

“Pengambilalihan ini tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham syarikat atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia,” kata MyEG.

HeiTech disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Securities Malaysia Bhd sebagai syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk integrasi sistem, pembangunan aplikasi, perkhidmatan infrastruktur terurus dan penyelesaian inovatif merentas sektor.

Ia turut membangunkan inisiatif Kerajaan Elektronik Malaysia.

Semasa berita ditulis, saham MyEG menokok 0.65 peratus atau setengah sen kepada 78 sen, dengan 3.99 juta saham diniagakan, memberikan nilai pasaran syarikat RM5.86 bilion.

Sementara itu, saham HeiTech melonjak 41 sen atau 16.73 peratus kepada RM2.86, menjadikan permodalan pasarannya mencecah RM289.5 juta.

Loading...
Terkini