comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

NAZA beli 100 peratus syarikat pengurusan sisa, BEnviro

SM Nasarudin SM Nasimuddin

KUALA LUMPUR: NAZA Corporation Holdings Sdn Bhd (Kumpulan NAZA) mengumumkan pengambilalihan penuh pegangan 100 peratus dalam pemain utama industri pengurusan sisa, Berjaya Enviro Holdings Sdn Bhd (BEnviro).

Pengambilalihan ini membuka peluang unik kepada Kumpulan NAZA untuk menceburi ekonomi hijau dan memanfaat peluang pertumbuhan dalam sektor sisa pepejal perbandaran (MSW), sisa terjadual (SW) serta sektor ‘Waste To Energy’ (WTE).

Urus niaga itu juga satu mercu tanda penting dalam halaju pertumbuhan NAZA dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam sektor pengurusan sisa di Malaysia.

Ia juga membabitkan pengambilalihan tujuh entiti di bawah BEnviro iaitu BPJ-Berjaya Sdn Bhd, Berjaya Eco Services Sdn Bhd, Save the Sea Sdn Bhd, Berjaya Enviro Parks Sdn Bhd, Amita Berjaya Sdn Bhd, J&T Berjaya Alam Murni Sdn Bhd dan Berjaya Energies Sdn Bhd.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan NAZA, SM Nasarudin SM Nasimuddin, berkata melalui pengambilalihan ini, NAZA dapat menawarkan solusi menyeluruh untuk memenuhi keperluan pengurusan sisa Malaysia, dengan memanfaatkan infrastruktur operasi yang luas, kemajuan teknologi dan tenaga kerja berbakat BEnviro serta tujuh anak syarikatnya.

Beliau berkata, pengurusan sisa merupakan asas ekonomi hijau, dengan potensi aliran pendapatan stabil, yang tidak terjejas oleh kitaran ekonomi.

“Pengambilalihan ini mencerminkan dedikasi dan komitmen NAZA terhadap pertumbuhan strategik perniagaannya, dengan menceburi dalam penyediaan solusi komprehensif pengurusan sisa, di samping memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.

SM Nasarudin menambah, Kumpulan NAZA kini menerokai sektor-sektor baharu yang sejajar dengan visinya untuk pembangunan mampan, kecekapan sumber dan penekanan kepada piawaian tertinggi dalam kebertanggungjawaban alam sekitar.

Beliau berkata, sektor pengurusan sisa yang merupakan aspek penting ekonomi hijau dijangka akan mengalami pertumbuhan yang besar, sejajar dengan visi NAZA.

“Perniagaan pengurusan sisa mempunyai aliran pendapatan stabil yang dapat diramalkan dan tidak bergantung kepada kitaran ekonomi. Kedua-dua faktor ini merupakan pertimbangan penting bagi NAZA dalam pengambilalihan ini,” katanya.

NAZA akan terus mengendalikan Bukit Tagar Enviro Park, sebuah taman eko pengurusan sisa berintegrasi seluas 659 ekar, yang merupakan salah satu daripada tapak pelupusan sanitari terbaik di negara ini.

Perniagaan ini juga termasuk operasi ‘gas-to-energy’, yang dapat mengembangkan kapasiti dalam sektor pengurusan sisa terjadual.

Fokus utama NAZA dalam perniagaan baharu ini termasuk sisa pepejal perbandaran, sisa terjadual, dan ‘Waste To Energy’ dengan memfokus kepada kebertanggungjawaban alam sekitar dan kelestarian jangka panjang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini