comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Negara kehilangan RM70 bilion hasil cukai ekoran ekonomi bayangan

Foto hiasan

CYBERJAYA: Negara dianggarkan kehilangan kira-kira RM70 bilion setiap tahun dalam bentuk hasil cukai daripada aktiviti perniagaan yang tidak didaftarkan dan kegiatan haram, dikenali sebagai ekonomi bayangan.

Jumlah itu kira-kira 20 peratus daripada anggaran keseluruhan pendapatan ekonomi bayangan bernilai RM350 bilion setahun. Nilai itu adalah 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) menganggarkan saiz ekonomi bayangan Malaysia secara purata 33.7 peratus daripada KDNK antara 1990 hingga 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, berkata sebanyak 894,027 kes gagal patuh borang nyata membabitkan taksiran dibangkitkan bernilai RM6.09 bilion diselesaikan antara 2020 hingga tahun lalu.

Ia masing-masing sebanyak 335,104 kes dengan nilai taksiran RM2.78 bilion diselesaikan pada 2020, 315,862 kes dengan nilai taksiran RM2.11 bilion (2021) dan 243,061 kes dengan nilai taksiran RM1.21 bilion, tahun lalu.

Mohd Nizom mengakui masalah ekonomi bayangan tidak dapat diselesaikan sepenuhnya, sebaliknya impak aktiviti terbabit hanya mampu diminimumkan menerusi peruntukan perundangan.

“LHDN sudah dan akan mengambil beberapa tindakan bagi mengatasi ketirisan hasil daripada ekonomi bayangan ini, termasuk pemilihan dan penyaluran kes bagi tindakan audit cukai dan audit majikan, terutama membabitkan kes gagal patuh borang nyata, selain mewujudkan parameter lebih berkesan dengan membuat padanan data dengan sumber maklumat dalaman dan luaran.

“Ia bagi memastikan pemilihan dan penyaluran kes berkualiti bagi tindakan audit. Contohnya, data pembayar cukai gagal patuh borang nyata akan dipadankan dengan data atau maklumat komisen, sewa dan pemilikan aset diperoleh daripada sumber luar.

“Tumpuan juga diberikan kepada kes ekonomi digital, meliputi industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta bukan ICT, termasuk kes pembayar cukai aktif terbabit dalam perniagaan secara dalam talian serta pempengaruh,” katanya kepada BH.

Ekonomi bayangan yang turut dikenali sebagai ekonomi bawah tanah berkait dengan hasil kegiatan jenayah, seperti penyeludupan tembakau, dadah, pelacuran, perjudian, pemalsuan pasport serta pemerdagangan manusia.

Ia juga termasuk sektor formal tidak didaftarkan seperti perniagaan dalam talian, pempengaruh, urus niaga tunai tanpa rekod (cash economy) dan pekerja sambilan yang tidak melaporkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Loading...
Terkini