comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai Eksport Jan-Ogos Cecah RM1 Trilion

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Nilai eksport negara bagi lapan bulan pertama tahun ini dijangka mencecah RM1 trilion bersandarkan permintaan tinggi terhadap barangan Malaysia termasuk produk halal, serta promosi yang dijalankan secara aggresif di peringkat perniagaan dan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, jumlah eksport mencatatkan RM125 bilion setiap bulan dan berpotensi untuk mengekalkan prestasi sama sepanjang tahun. 

Prestasi itu juga didorong pelan kemampanan yang mampu menarik syarikat pengimport terutama dari Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun. 

“Kita perlu meneroka pasaran antarabangsa di mana kebanyakkannya terdapat peluang yang lebih besar di luar sana. Kita tidak boleh memberi fokus kepada pasaran domestik sahaja kerana ia melibatkan hanya 32 juta populasi. Dengan ini, syarikat global akan menjadikan Malaysia sebagai hab  atau platform untuk mereka menembusi pasaran lain di rantau ini, ” katanya selepas taklimat media pada Program Sumber Antarabangsa (INSP) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2022).

Pada Januari hingga Julai, eksport meningkat 27.8 peratus kepada RM873 bilion dan import sebanyak RM734.5 bilion.

Mengenai MIHAS 2022 ke-18 yang bermula 7 September, MATRADE mensasar jualan RM1.9 bilion, selain menganjurkan Program Sumber Antarabangsa membabitkan perniagan bersama pembeli premium.

Program itu terdiri daripada 600 pembekal tempatan dan 400 pembeli antarabangsa dari Qatar, Arab Saudi, Amerika Syarikat, India dan Turki. 

Loading...
Terkini