comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai jualan sektor pembuatan meningkat kepada RM153.2 bilion

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Nilai jualan sektor pembuatan meningkat sebanyak 5.7 peratus, mencapai nilai RM153.2 bilion pada April 2024, demikian mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata nilai jualan sektor pembuatan pada April 2024 mencatatkan pertumbuhan tertinggi dalam tempoh 13 bulan berikutan kesan nilai asas yang lebih rendah.

Katanya, kenaikan itu didorong terutamanya oleh nilai jualan dalam subsektor kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (16.9 peratus); produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (12.8 peratus); dan peralatan elektrik & elektronik (2.7 peratus).

“Namun begitu, nilai jualan sektor pembuatan menguncup 3.3 peratus daripada RM158.4 bilion yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Nilai jualan industri berorientasikan eksport yang menyumbang 69.9 peratus daripada jumlah jualan, meningkat sebanyak 3.4 peratus daripada negatif 0.1 peratus pada Mac 2024.

“Kenaikan ini adalah didorong oleh pengembangan dalam industri pembuatan kimia & produk kimia (9.9 peratus); pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (8.3 peratus); dan pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (2.9 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan industri berorientasikan eksport jatuh sebanyak 3.9 peratus berbanding pertumbuhan dua digit 10 peratus yang dicatatkan pada Mac 2024.

“Begitu juga, industri berorientasikan domestik terus berkembang dengan mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 11.4 peratus pada April 2024, berbanding 5.4 peratus pada Mac 2024.

“Kenaikan ini dipacu oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi treler dan pembuatan produk logam, kecuali mesin & kelengkapan, yang masing-masing melonjak sebanyak 23.1 peratus dan 17 peratus.

“Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan industri berorientasikan domestik menurun 1.9 peratus, berbanding positif 4.7 peratus yang direkodkan pada Mac 2024,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini