comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai kekayaan 50 bilionair paling kaya Malaysia meningkat

Tan Sri Robert Kuok terus menduduki tempat pertama dalam senarai terkini Forbes dengan nilai bersih AS$11.5 bilion.

KUALA LUMPUR: Nilai kekayaan keseluruhan 50 bilionair paling kaya di Malaysia meningkat dua peratus kepada AS$83.4 bilion tahun ini, demikian menurut senarai terbaharu yang dikeluarkan oleh Forbes Asia 2024.

Peningkatan itu disokong oleh kenaikan sembilan peratus pasaran saham Malaysia sejak senarai terakhir 50 Terkaya Malaysia dikeluarkan oleh majalah perniagaan terkemuka itu, namun ia diimbangi oleh kejatuhan nilai ringgit.

Tan Sri Robert Kuok, yang meraikan ulang tahun ke-100 tahun lalu terus menduduki tempat pertama dalam senarai terkini Forbes dengan nilai bersih AS$11.5 bilion.

Beliau merupakan salah seorang bilionair tertua di dunia yang mengasaskan Kumpulan Kuok sejak 75 tahun lalu di Johor Bahru dan merupakan usahawan gula, beras dan tepung gandum serta membina syarikat diasaskannya menjadi sebuah konglomerat yang berkembang maju.

Di kedudukan kedua dengan nilai bersih AS$8.8 bilion ialah Tan Sri Quek Leng Chan, Pengerusi Eksekutif Hong Leong Group, yang mengekalkan kedudukan walaupun nilai bersihnya merosot daripada AS$10.2 bilion tahun lalu.

Kedudukan lima teratas menyaksikan beberapa perubahan dengan adik-beradik Teh, yang mewarisi kepentingan dalam Public Bank daripada mendiang bapa mereka, Tan Sri Teh Hong Piow, menambah sedikit kekayaan untuk berada di tempat ketiga dengan nilai bersih AS$5.4 bilion.

Menurut Forbes Asia, adik beradik Teh menggantikan hartawan aluminium, Tan Sri Koon Poh Keong dan adik-beradiknya, yang jatuh ke tempat kelima disebabkan harga dan permintaan untuk logam yang lemah menyebabkan nilai bersih mereka jatuh kepada AS$5.3 bilion daripada AS$5.8 bilion tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini