comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai kerja pembinaan cecah RM132.2 bilion pada 2023

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Prestasi kerja pembinaan mencapai nilai RM132.2 bilion pada 2023 dengan momentum pertumbuhan positif yang berterusan sebanyak 8.4 peratus selepas pulih pada 2022 dengan pertumbuhan sebanyak 8.8 peratus, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Nilai kerja pembinaan mencecah RM34.1 bilion pada suku keempat 2023, meningkat 6.8 peratus berbanding setahun yang lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sektor pembinaan terus menunjukkan trajektori positif mencapai nilai kerja berjumlah RM34.1 bilion pada suku keempat 2023 berbanding RM33.4 bilion pada suku ketiga.

“Peningkatan pada suku ini diperkukuh oleh pertumbuhan lebih pesat dalam subsektor kejuruteraan awam yang melonjak sebanyak 18 peratus, manakala subsektor bangunan kediaman dan aktiviti pertukangan khas berkembang pada kadar lebih perlahan masing-masing pada 2.3 peratus dan 0.3 peratus.

Sebaliknya, subsektor bangunan bukan kediaman mengalami penurunan 1.9 peratus.

“Untuk setahun penuh, semua subsektor mengalami peningkatan dengan aktiviti kejuruteraan awam mencatatkan peningkatan dua angka yang ketara sebanyak 15.7 peratus, diikuti oleh aktiviti pertukangan khas (8.5 peratus).

“Pada masa yang sama, subsektor bangunan kediaman dan bangunan bukan kediaman masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 3.7 dan 3.1 peratus,” katanya dalam laporan Statistik Pembinaan Suku Tahunan Malaysia Suku Keempat 2023 yang diterbitkan hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini