comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai pasaran EV ASEAN dijangka berkembang RM83.9 bilion menjelang 2027

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Industri kenderaan elektrik (EV) di rantau ASEAN dari segi pengeluaran dan penggunaan masih lagi pada peringkat pertumbuhan awal, namun bakal berkembang pada kadar pantas, demikian menurut RHB Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu berkata, nilai pasaran EV ASEAN mencecah AS$10 bilion (RM46.62 bilion) pada 2021 dan diunjurkan berkembang pada Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) lebih 10 peratus sepanjang tempoh lima tahun berikutnya dengan sasaran pasaran pada AS$18 bilion (RM83.9 bilion) menjelang 2027.

“Dalam kelompok negara MIST (Malaysia-Indonesia-Singapura-Thailand), Indonesia dan Thailand bukan sahaja menjadi negara yang menerima manfaat pada peringkat Asia, tetapi juga pada peringkat dunia. Sungguhpun begitu, Malaysia mampu mengejar kedudukan kedua-dua negara jiran terbabit menerusi pelaksanaan dasar kerajaan yang lebih membantu,” katanya dalam nota penyelidikan.

RHB Investment Bank berkata, pertumbuhan segmen EV dijangka mewujudkan peluang yang lebih besar kepada pasaran.

“Menurut laporan Unjuran EV Global 2023, jualan EV dunia dijangka meningkat sekitar empat kali ganda dari 2022 ke 2030. Walaupun China, Eropah, dan Amerika Syarikat (AS) bakal menjadi tiga pasaran pengguna terbesar, persekitaran rantau ini yang menyumbang bekalan komponen utama kini masih lagi tepu seperti China yang menguasai seluruh rantaian bekalan bateri EV hiliran dan menjual bateri dan komponen EV.

“Dengan ini, kami ramalkan Asia membuka pintu peluang yang besar untuk pertumbuhan penggunaan EV dan setelah melihat betapa peri pentingnya peranan Asia dalam pembuatan komponen automotif dan mineral berkaitan bateri, kami berpandangan bahawa ASEAN boleh menjadi lokasi yang menarik sebagai pusat kegiatan untuk pembekalan komponen utama EV,” katanya.

Bank pelaburan itu menjelaskan, ASEAN sudah memainkan peranan pentingnya dalam rantai bekalan EV dengan banyak negara rantau itu menawarkan insentif dan giat memberikan sokongan pada pelaburan langsung asing (FDI) dalam membantu pengeluaran EV, sambil menggesa pengguna supaya membeli EV.

“Sejak 2019, kemasukan pesat pelaburan membabitkan EV ke rantau ini jelas kelihatan. Malah setakat ini, 10 pengeluar teratas EV di ASEAN juga menempatkan sembilan daripada 10 pengilang bateri EV teratas dunia,” katanya.

RHB Invenstment Bank berkata, dengan memiliki rizab galian nikel yang besar, Indonesia dan Filipina bakal menjadi hab pengeluaran bateri.

“Indonesia dan Thailand yang sudah pun mempunyai pangkalan pembuatan atau pemasangan yang besar untuk industri automotif, sedang mengubah suai pangkalan yang ada ini untuk tujuan pembekalan komponen EV.

“Malaysia juga akan memperkuat pengaruhnya sebagai pengeluar bateri EV dan pembekal barangan elektrik & elektronik (E&E).

“Walaupun Singapura bukanlah pengeluar automotif yang utama, Hyundai sudah menyatakan hasratnya untuk mengilangkan EV-nya di kilang di Jurong mulai 2025. Singapura juga giat membangunkan kapasiti kitar semula bateri EV,” katanya.

Bagaimanapun, bank pelaburan itu mendedahkan terdapat risiko utama yang menjelaskan pertumbuhan EV termasuk konflik antara AS dengan China semakin meruncing.

“Penemuan teknologi baharu membawa kepada penurunan kos dalam pembuatan EV di serata dunia juga menjadi risiko utama. Malah penemuan teknologi saingan yang alternatif dan pindaan dasar yang kerap serta tidak menguntungkan juga diambil kira. Kemungkinan permintaan untuk EV lemah di rantau ASEAN juga boleh menjadi risiko,” katanya.

Loading...
Terkini