comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai perdagangan Malaysia tertinggi dalam tempoh 20 bulan

Foto hiasan 

KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia kekal berdaya tahan dan kukuh pada Mei 2024, apabila mencatatkan pertumbuhan dua angka tahun ke tahun sebanyak 10.3 peratus kepada RM246.31 bilion.

Ini adalah nilai tertinggi dalam tempoh 20 bulan dicatatkan sejak Oktober 2022 dan menjadi pertumbuhan tahunan yang kelima bulan berturut-turut.

Eksport meningkat dua bulan berturut-turut, berkembang 7.3 peratus kepada RM128.22 bilion, manakala import naik 13.8 peratus kepada RM118.09 bilion yang menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM10.14 bilion dan merupakan lebihan dagangan yang ke-49 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, pertumbuhan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, barangan perkilangan logam, barangan optik dan saintifik serta barangan besi dan keluli.Ia berkata, eksport barangan E&E mengekalkan pertumbuhan positif bagi dua bulan berturut-turut.

Katanya, tanda-tanda pemulihan ekonomi di pasaran eksport utama negara dapat dilihat apabila eksport ke rakan dagang utama seperti ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan peningkatan.

“Eksport ke ASEAN dan AS mencatatkan kenaikan ketara dengan pertumbuhan dua angka.

Begitu juga, eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) meningkat 4.5 peratus tahun ke tahun kepada RM87.64 bilion.

“Di antara rakan dagang FTA yang mencatatkan peningkatan eksport adalah Mexico dan Kanada, disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E,” katanya.

MITI berkata, perdagangan, eksport dan import pada tempoh lima bulan pertama 2024 mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh terbabit.

Katanya, perdagangan meningkat 8.7 peratus kepada RM1.158 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023, eksport naik 4.5 peratus kepada RM605.25 bilion dan import bertambah 13.7 peratus kepada RM553.24 bilion, dengan lebihan dagangan sebanyak RM52.01 bilion telah dicatatkan pada tempoh ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini